DR Abdul Rahman (tengah) menyerahkan bendera UiTM kepada Dr Mohamad Huzaimy (kiri) diperhatikan Dr Mohd Nasir.

Shah Alam: Lapan saintis tempatan terbabit dalam pelayaran saintifik selama 22 hari ke Antartika bermula 18 Januari ini menggunakan kapal layar dikenali ‘Yatch Australis’.

Ekspedisi berkenaan bermula dari Pelabuhan Ushaia, Argentina dan perjalanannya dianggarkan 4,000 kilometer.

Ekspedisi membabitkan masing-masing dua peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dan masing-masing seorang peserta dari Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan International Medical University (IMU).

Kumpulan saintis berkenaan diketuai Dr Mohamad Huzaimy Jusoh dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Shah Alam.

Dr Mohamad Huzaimy berkata, ekspedisi julung kali ini anjuran Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) serta Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

“Ia disertai kumpulan saintis daripada pelbagai latar-belakang berbeza. Kos ekspedisi ini RM450,000. Ekspedisi memberi fokus terhadap kajian berimpak tinggi seperti bidang sains biologi, sains ekologi, kimia atmosfera, sains bumi, sains astronomi dan sains astrofizik.

“Kami akan menjelajah ke lapan lokasi yang signifikan di Antartika iaitu King George Island, Greenwich Island, Davis Coast, Graham/Loubet Coast, Adelaide Island dan Barry Island,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis ‘Sending Off’ Peserta Ekspedisi UiTM ke Antartika di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Shah Alam.

Turut hadir pemangku Naib Canselor UiTM Profesor Ir Dr Abdul Rahman Omar dan Dekan Fakutli Kejuruteraan Elektrik Prof Dr Mohd Nasir Taib.

“Kami melakukan persiapan sejak tiga tahun lalu dan berada di kawasan waktu siang boleh mencecah 20 jam dan ada sebahagian kawasan siang 24 jam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 7:48 AM