mutakhir

Kejayaan IJN lakukan dua pemindahan jantung beri harapan kepada pesakit

Oleh Nurul Najwa Mohd Noordin dan Nor Syazrina Muhamad Tahir

Kuala Lumpur: Institut Jantung Negara (IJN) berjaya melakukan pemindahan jantung terhadap dua pesakit remaja yang menghidap non-ischaemic dilated cardiomyopathy, iaitu penyakit otot jantung yang meregang dan menipiskan ruang jantung.

Kedua-dua pesakit Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif, 19, dan Daniella Kang, 18, kini, dilaporkan stabil dan berada dalam proses pemulihan.

Pengarah Klinikal, Transplantasi Jantung dan Paru-paru Program Jantung Mekanikal IJN, Datuk Dr Mohd Nazeri Nordin berkata, pada mulanya, pesakit lelaki menerima panggilan untuk penerimaan pemindahan jantung kali pertama.

Namun, katanya, pemeriksaan terhadap jantung itu mendapati ia kurang sesuai dengan pesakit berkenaan.

"Alhamdulillah, pada 6 Januari lalu kami menerima panggilan kedua bahawa pesakit akan menerima pendermaan jantung yang sihat," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi (IJN) Sdn Bhd, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotoraks Prof. Datuk Dr. Mohamed Ezani Md. Taib.

Dr Mohd Nazeri berkata, Farhan Irfan tersenarai dalam senarai menunggu sejak Mei tahun lalu.

Menurutnya lagi, pesakit kedua, Daniella sudah melalui dua pembedahan untuk memulihkan masalah jantungnya.

"Pilihan terbaik ketika itu adalah menjalankan pembedahan bagi meletakkan alat bantu ventrikal kiri (LVAD) kerana keadaan jantung pesakit semakin teruk.

"Ajaibnya, lima hari selepas pemasangan LVAD, kami menerima penderma jantung yang sesuai untuk Daniella," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, mereka bersyukur kerana kos rawatan pembedahan pemindahan jantung tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Katanya, selepas pembedahan berjaya dilaksanakan keadaan jantung yang diterima pesakit berfungsi dengan baik.

Disiarkan pada: March 11, 2024 @ 9:39pm
d