mutakhir

KPT bincang keperluan bawa pulang penuntut Malaysia

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi sebarang tindakan lanjut susulan konflik di Timur Tengah ketika ini, termasuk keperluan sekiranya ada, untuk membawa pulang penuntut Malaysia dari negara terjejas.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan rekod semasa, penuntut Malaysia yang berdaftar adalah sebanyak 1,872 orang yang berada di Jordan, 37 orang di Syria, lapan di Iran, manakala tiada penuntut negara ini dilaporkan di Lubnan dan Iraq.

"Kementerian mengambil maklum situasi terkini di Timur Tengah yang melibatkan Iran dan Israel serta secara tidak langsung memberi tempias kepada negara-negara di sekitarnya seperti Jordan, Syria, Lubnan dan Iraq.

"KPT memantau menerusi pejabat Education Malaysia di Jordan dan Dubai serta sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penuntut terjamin," menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menasihati penuntut Malaysia di negara yang terlibat agar terus bertenang, sentiasa berwaspada dengan situasi semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Kepada penuntut dan ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran melalui talian (+9821) 88072444 (+9821) 88078606 atau e-mel mwtehran@kln.gov.my dan mwconsular.teh@gmail.com.

Bagi Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan, boleh menghubungi talian (+962) 6590 2400 (+962) 78590 2400 atau e-mel mwamman@kln.gov.my dan amm.uhep@gmail.com.

Disiarkan pada: April 15, 2024 @ 11:31pm
d