mutakhir

359 kemalangan, tujuh kematian direkod di Terengganu

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Sebanyak 359 kes kemalangan dengan tujuh kematian direkodkan dalam Op Selamat 22/2024 di negeri ini sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, 25 operasi dilaksanakan dengan 9,052 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan.

Menurutnya, 311,184 kenderaan masuk ke negeri ini, manakala sebanyak 303,141 kenderaan yang keluar bagi tempoh 8 April hingga 13 April lalu.

"Polis Terengganu sedaya upaya memastikan kelancaran lalu lintas di semua daerah dalam Terengganu dan khususnya di daerah Kuala Terengganu.

"Alhamdulillah, kita dapat menunaikan tanggungjawab dalam memastikan lalu lintas dikawal dengan baik walaupun pergerakan perlahan berlaku di beberapa kawasan hotspot terutama pada hari raya kedua.

"Selain daripada itu, salah satu objektif Op Selamat ini adalah untuk memastikan keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan oleh pemilik di musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK), Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) dan Ketua Polis Daerah (KPD) Setiu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi tempoh sama, sebanyak 12 kes pecah rumah dilaporkan di seluruh negeri ini.

Disiarkan pada: April 16, 2024 @ 4:29pm
d