mutakhir

Syarikat penerbangan, pengendali pesawat disaran pantau maklumat berkaitan debu gunung berapi-CAAM

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sudah mengeluarkan maklumat keselamatan berkaitan Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi di Sulawesi Utara, Indonesia yang memberi kesan kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, maklumat keselamatan ini dikeluarkan ekoran letusan Gunung Ruang, Manado, Sulawesi Utara, Indonesia yang mula meletus jam 9.45 pagi, Selasa lalu.

"Kesan letusan ini menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara berkenaan.

"Sehubungan itu, CAAM menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat untuk memantau secara berterusan perkembangan meteorologi, notis serta maklumat-maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa," katanya pada kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan, sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.

Mengulas lanjut, Norazman berkata, orang ramai yang terbabit bagi penerbangan melibatkan kawasan berkenaan juga dinasihati untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan.

"(Ia) berkaitan perkembangan letusan gunung berapi dan status terkini jadual penerbangan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan," katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2024 @ 2:17pm
d