mutakhir

Atok Jepun jatuh cinta penyu Port Dickson

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Sanggup datang jauh dari Jepun semata-mata mahu menyaksikan penyu bertelur di pantai peranginan Port Dickson.

Minat mendapat terhadap haiwan laut ini menyebabkan Ochiai Shoichiro, 83, sanggup mengeluarkan belanja besar untuk perjalanan dan penginapan bagi menyaksikan penyu bertelur.

Keputusan itu diambil selepas dia mengetahui lokasi berhampiran Hotel Glory Beach Resort adalah lokasi penyu kerap naik dan bertelur.

"Saya sangat teruja dengan penyu dan sanggup datang ke Malaysia (Port Dickson) selepas dimaklumkan rakan bahawa kawasan sekitar hotel ini adalah lokasi penyu bertelur," katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Gemok di sini.

Katanya, dia sanggup menempah bilik hotel selama dua minggu semata-mata mahu melihat penyu bertelur.

"Kebetulan hari ini (semalam), pihak hotel menjumpai lokasi telur penyu berada. Namun saya berharap dapat melihat sendiri proses bagaimana penyu bertelur pada waktu malam.

Ochiai berkata, usia lanjut bukan penghalang untuk dia meneruskan minat terhadap spesis haiwan itu.

"Sejak remaja saya sudah teruja dengan penyu. Saya difahamkan bukan mudah mahu melihat penyu bertelur kerana ia biasanya dilaakukan pada waktu tengah malam atau awal pagi terutamanya ketika air laut sedang pasang," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Pemuliharaan Penyu di Glory Beach Resort, Hishamudin Abd Manap berkata, terdapat 159 biji telur dijumpai tertanam dalam pasir di Pantai Tanjung Gemok di sini, semalam.

"Saya mendapat tahu adanya penyu bertelur awal pagi semalam selepas membuat rondaan di sekitar pantai ini.

"Semua telur penyu ini dipercayai jenis Karah diambil untuk ditetaskan di lokasi yang disediakan di hotel Grand Beach Resort. Langkah ini bertujuan menyelamatkan telur ini dari dimakan burung pemangsa," katanya.

Hishamudin yang dikenali sebagai 'Renjer Penyu' berkata, kawasan pantai ini adalah pantai ketiga yang di pantau dalam tempoh dua minggu ini susulan musim penyu bertelur tahun ini antara bulan April hingga November.

"Saya menggunakan kaedah tradisional dengan mencucuk kayu di atas permukaan pasir pantai, sebelum berjaya mengesan kedudukan telur penyu itu.

Disiarkan pada: April 27, 2024 @ 6:00pm
d