mutakhir

AADK 'ziarah' tengah malam

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Lawatan mengejut di tengah malam. Itu kaedah digunakan pasukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha menahan golongan penagih dadah yang mendiami pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota.

Dalam operasi bermula jam 11 malam kelmarin, anggota AADK mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi mengesan penagih dadah di di PPR Desa Rejang di sini.

Hasil pemeriksaan itu 44 penghuni PPR yang juga penagih dadah ditahan menerusi operasi Ops Bah.

Bagaimanapun ahli keluarga penagih ditahan terkejut apabila mendapati suami, anak atau cucu mereka disahkan positif dadah hasil ujian air kencing dilakukan serta-merta.

Malah, ada ahli keluarga penagih tidak boleh menerima kenyataan serta memarahi pegawai AADK yang menahan penagih itu.

Semua penagih itu ditahan AADK yang terbabit dalam operasi bersepadu bersama 12 agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Antara agensi berkenaan Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Malaysia (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Telekom Malaysia (TM) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata, pihaknya menyedari kegiatan penyalahgunaan dadah di PPR dan berusaha membanterasnya.

Katanya, penagih sebelum ini kerap menggunakan rumah kosong yang ditinggalkan namun kini lebih selesa menagih di dalam rumah.

“Kegiatan penagihan dadah di PPR dianggap serius berikutan kawasan itu mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Menurutnya, semua agensi penguatkuasaan sentiasa bekerjasama termasuk AADK bagi memantau kawasan perumahan PPR dari semasa ke semasa.

Katanya, pihaknya sedar masalah penyalahgunaan dadah boleh membawa kepada jenayah ragut dan pecah rumah.

Disiarkan pada: January 29, 2016 @ 9:37am
d