FYNN.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Berbanding karier, nama Fynn Jamal lebih kerap dikaitkan dengan kontroversi yang dicetuskan pengikut di sosial media.

Bukan sahaja dilontarkan komen negatif, malah penyanyi berusia 34 tahun itu turut dituduh sebagai penganut Syiah hanya kerana sering berjubah hitam.

Pemilik nama sebenar Nur Affina Yanti Jamaluddin menyifatkan tuduhan itu melampau dan tidak masuk akal.

“Hanya kerana selalu pakai jubah hitam saya dilabel Syiah? Tak masuk akal!

“Saya hairan apabila pakaian pun boleh jadi isu sampai ada yang pertikai kerana saya kerap pakai baju sama,” katanya selepas pelancaran produk Cereal Caliph Nutrition For Eyes baru-baru ini.

Penyanyi lagu Arjuna Beta itu menegaskan dia bukan kedekut sebaliknya lebih selesa dengan imej sedemikian kerana ia ringkas.

“Keluarga pernah tegur kenapa saya asyik pakai jubah. Mujur suami jenis tak kisah. Bagi saya, daripada berbelanja besar untuk beli pakaian, lebih baik guna wang itu untuk beli makanan dan keperluan anak,” katanya.

Fynn berkata, sikapnya yang lantang bersuara di sosial media mungkin punca sering menjadi sasaran pahlawan papan kekunci.

“Ada sahaja perkara yang saya kongsi di media sosial termasuk aktiviti anak tidak kena pada mata orang tertentu.

“Mulalah mereka berkata macam-macam mengenai saya, malah ada yang mengungkit kisah silam saya sebelum bertudung,” katanya.

Mengakui penat berdepan kontroversi, Fynn mahu mengurangkan kelantangannya di media sosial.

“Dulu, saya akan mempertahankan diri apabila pengikut tulis komen negatif. Sekarang, apabila mereka bergaduh sesama sendiri, saya padam komen mereka atau menyekat individu itu daripada terus mengikuti akaun media saya,” katanya.

Diminta mengulas isu dikatakan mencuri resipi sambal peniaga lain hangat diperkatakan di Internet, Fynn menafikan pernah menerima sampel makanan itu daripada mana-mana pihak.

“Saya juga tidak pernah menerima panggilan mahupun mesej daripada individu terbabit mengenai produk sambal yang saya jual,” katanya.

Menurutnya, idea menjual sambal timbul datang selepas penganjur sebuah bazar memintanya menjual makanan.

“Saya hanya masak 100 botol sambal untuk dijual di bazar itu dan tidak sangka ia jadi isu.

“Bukan susah buat sambal dan saya turut berkongsi resipi di Instagram,” katanya.

Mengakui selalu menerima barang percuma daripada peminat, Fynn menegaskan dirinya bukan jenis yang suka meminta sampel produk daripada peniaga.

“Saya percaya isu ini sengaja diada-adakan dan diharap individu yang menuduh saya mencuri resipinya tampil merjernihkan keadaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fynn bakal muncul dengan single baru berjudul Kalau bersama kumpulan Kopratasa.

“Lirik adalah ilham saya sendiri manakala lagu pula ciptaan AG. Ia mengisahkan hubungan bapa dengan anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 10:57 AM