Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik sempena sambutan 100 tahun penubuhannya.

Isteri Perdana Menteri merangkap Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datin Seri Rosmah Mansor, berkata antara acara yang bakal diadakan ialah Sambutan Hari Peringatan Sedunia, seminar kepimpinan antarabangsa, pelancaran syiling dan setem khas.

"Selain itu PPPM juga akan mengadakan konsert perdana, siaran dokumentari khas bersiri serta pelancaran kapsul masa dan maskot khas persatuan.

"Diharapkan semua program yang dirancang ini dapat memberi impak dan manfaat kepada ahli serta masyarakat sekeliling," katanya ketika berucap merasmikan majlis Sambutan 100 Tahun PPPM di Wisma Pandu Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahaini Raja Shahar Shah merangkap Timbalan Yang DiPertua PPPM dan Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majlis turut menyaksikan Yang DiPertua PPPM daripada 18 Cawangan Negeri bersama Rosmah memeterai kapsul masa yang mengandungi memorabilia kenangan persatuan itu dan ia akan dibuka semula 25 tahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 12:33 PM