AHLI PPPM bergambar bersama msskot Pandu Puteri Sang Kancil selepas Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia, semalam.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) melaksanakan proses penjenamaan semula bagi memberi nafas baru selain memastikan fungsinya kekal relevan mengikut perubahan zaman.

Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Datin Seri Rosmah Mansor berkata, proses penjenamaan semula itu memerlukan PPPM meminda perlembagaan sedia ada supaya ia selaras dengan tuntutan visi dan misi persatuan.

“Pindaan perlembagaan itu adalah untuk memastikan persatuan ini bergerak maju dan diperkasakan lagi demi mendukung matlamatnya dalam membangunkan potensi anak gadis.

“Saya percaya Pandu Puteri mampu menjadi platform holistik lengkap untuk memupuk nilai positif kepemimpinan, perpaduan, patriotisme serta sukarelawan dalam kalangan anak gadis dan wanita melalui pendidikan tidak formal,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun PPPM di Wisma Pandu Puteri, semalam.

Hadir sama, Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahaini Raja Shahar Shah merangkap Timbalan Yang Dipertua PPPM dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majlis berkenaan turut menyaksikan Yang Dipertua PPPM dari 18 Cawangan Negeri bersama Rosmah memeterai kapsul masa yang mengandungi memorabilia kenangan persatuan itu dan ia akan dibuka semula 25 tahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:09 AM