Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my


Seremban: Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, di sini, ditemui lemas dalam kolam renang sekolah berkenaan, petang tadi.

Difahamkan, mangsa Muhammad Daniel Abdul Razak, 17, mandi di kolam itu bersama beberapa pelajar sebelum lemas.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mereka mandi di kolam itu tanpa pengetahuan guru sebelum dilihat seorang guru yang sedang membuat persiapan hari sukan lalu mengarahkan mereka meninggalkan kolam, kira-kira 3 petang.

Menurutnya, ketika semua pelajar keluar, mangsa dilihat masih berada dalam kolam dan sudah tidak sedarkan diri sebelum guru itu mengarahkan mereka membantu mengangkat mangsa dan memberi bantuan pernafasan.

"Pihak sekolah kemudian menghubungi pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bantuan. Mangsa dibawa ke hospital berkenaan menggunakan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia.

"Susulan kejadian itu, guru berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 6 petang. Pegawai penyiasat ke hospital untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata, mayat diserahkan ke Unit Forensik HTJ untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 11:37 PM