Nursuhaila Eliani dijatuhi hukuman penjara tiga hari. FOTO Rosdan Wahid
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

Shah Alam: Mahkamah Rayuan Syariah di sini memerintahkan bekas isteri pengacara Jimmy Shanley, 36, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 30, menjalani hukuman penjara tiga hari mulai hari ini.

Sebelum itu, mahkamah sama mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 28 Januari 2015 terhadap Nursuhaila Eliani yang mengingkari perintah berhubung lawatan dan bermalam membabitkan anak mereka.

Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Tan Sri Dr Ibrahim Lembut mengurangkan jumlah penjara daripada tujuh ke tiga hari.

Penghakiman yang dibacakan Hakim Rayuan Syariah Datuk Aidi Moktar menolak permohonan Nursuhaila Eliani untuk mengetepikan perintah komital berkenaan dengan alasan Mahkamah Tinggi Syariah sudah memberi ruang dan peluang untuk perayu membela diri selain hukuman penjara itu juga tidak melanggar peruntukan undang-undang syariah Selangor.

Nursuhaila Eliani diarahkan menjalani hukuman penjara hari ini di Penjara Wanita Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 1:29 PM