mutakhir

Gajah liar 'kerjakan' pisang

Oleh myMetro

Gua Musang: Kira-kira 100 pokok pisang yang ditanam di kebun seluas dua hektar di Kampung Pasik, di sini musnah ‘dikerjakan’ gajah liar, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku jam 4 pagi yang turut memusnahkan paip tadahan air bukit yang menyebabkan penduduk Orang Asli di situ terputus bekalan.

Penduduk bagaimanapun, mengambil langkah segera dengan bergotong-royong menyambung dan membaiki semula paip yang pecah.

Seorang penduduk, Angah Along, 51, berkata, kampungnya kerap menjadi tempat gajah liar berkeliaran dan semalam menyaksikan lima ekor binatang itu muncul memusnahkan kebun mereka.

“Dalam bulan ini sudah dua kali tanaman rosak angkara gajah dan paip air. Kami bimbang selepas ini nyawa kami pula yang terancam apabila ia menceroboh kawasan kampung,” katanya di sini, semalam.

Angah berkata, sebelum ini terserempak sekumpulan 10 gajah liar di kawasan berhampiran yang dipercayai mencari sumber air untuk berendam akibat cuaca panas.

Sementara itu, Sudi Telong, 42, pula berkata, kebanyakan pisang yang dimusnahkan sudah mengeluarkan hasil menyebabkan mereka menanggung kerugian.

Disiarkan pada: May 13, 2016 @ 10:31am
d