SIUND menampilkan karya diberi nama ‘The Nur Workers’ dengan medium akrilik di atas kanvas.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Galeri G13 menampilkan pameran berkumpulan terbaru, Voice of The Voiceless yang mengetengahkan karya artis tempatan.

Pameran yang mula membuka tirai minggu lalu itu disertai lima artis kontemporari, Chong Kim Chiew, Gan Chin Lee, Gan Sze Hooi, Ruzzeki Harris dan Siund Tan.

Sebanyak 17 karya seni dipamerkan dan barisan artis terbabit meneroka isu masyarakat yang dijadikan subjek dalam karya masing-masing sebagai komentar sosial.

Secara umum, komentar sosial ialah tindakan mengekspresikan pendapat atau pandangan kritikal terhadap kompleks sosial dan realiti politik menggunakan kaedah retorik untuk menghasilkan komentar terhadap sebarang isu masyarakat.

Artis dan pengkarya sudah lama menggunakan seni sebagai medium untuk menyampaikan komen terhadap isu sosial, politik dan ekonomi di sekeliling mereka. Sebagai contoh, pada zaman Greek pengkarya menyalurkan kritikan mereka melalui pentas teater.

Aristotle turut mencipta istilah ‘catharsis’ bermaksud impak emosi hasil melihat atau mendengar serta menghayati karya seni.

Kelima-lima artis mengutarakan kebimbangan sama terhadap suasana di sekeliling selain mengenal pasti potensi seni yang mampu menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Walaupun setiap karya berbeza dan ada sentuhan peribadi tersendiri, setiap karya memiliki persamaan kerana tema sama iaitu isu sosial.

Medium digunakan adalah pelbagai dan ada beberapa hasil seni dihasilkan menggabungkan beberapa medium, antaranya cat minyak, cat semburan, akrilik dan arang.

Karya Chin Lee melambangkan ekspresi masyarakat Cina dan menterjemahkannya dalam bentuk lukisan puisi dilakarkan dengan komentar mengikut latar politik terkini.

Kim Chiew pula meneroka had sempadan dibentuk geopolitik dan globalisasi manakala Sze Hooi mengetengahkan pergelutan komuniti tempatan dalam menghadapi pembangunan urban.

Ruzzeki pula menerapkan individualisme dan sindiran dalam isu sosial dan politik semasa serta pendekatan realisme manakala Siund menampilkan lukisan figuratif yang menekankan eksploitasi buruh.

Pameran sehingga 28 Mei ini terbuka kepada orang ramai dan masuk percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 5:02 AM