Persidangan Buruh Antarabangsa ke-105 di Geneva. FOTO ihsan ILO
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Malaysia adalah negara pertama di kalangan negara anggota ASEAN dan negara kelima di Asia yang meratifikasi Konvensyen Buruh Antarabangsa berhubung gaji minimum.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, beliau sebagai ketua delegasi negara sudah mendepositkan dokumen (instrument) kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Persidangan Buruh Antarabangsa ke-105 di Geneva, Switzerland.

"Dokumen ratifikasi ini didepositkan kepada Ketua Pengarah ILO Mr Guy Ryder sebagai tanda ratifikasi Konvensyen Buruh Antarabangsa berhubung gaji minimum iaitu Convention No 131: Minimum Wage Fixing Convention 1970 (C131).

"€‹Konvensyen ini adalah instrumen antarabangsa yang menggariskan kaedah penetapan gaji minimum dan perkara berkaitan perlu dipatuhi oleh negara yang meratifikasi konvensyen ini," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Turut hadir ke konvensyen itu ialah Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan; Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N.Gopal Kishnam dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Lok Yim Pheng.

Katanya, kerajaan sebagai salah satu anggota ILO sebelum ini sudah meratifikasi 16 Konvensyen ILO yang masih berkuat kuasa.

"Langkah ini adalah tindakan positif yang diambil kerajaan bagi menambah baik standard perburuhan negara berhubung setiap aspek pelaksanaan gaji minimum yang diperkenalkan di negara ini sejak 2013.

"Ia juga bagi menunjukkan komitmen negara di persada antarabanga untuk menambah baik dasar perburuhan khususnya berhubung peningkatan perlindungan sosial secara berterusan bagi kesejahteraan dan kebaikan golongan pekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 10:08 AM