mutakhir

Terangi malam Aidilfitri [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Alor Gajah: Tradisi memasang pelita masih kukuh dalam budaya masyarakat Melayu apabila menerangi halaman rumah mereka dengan cahaya pelita terutamanya ketika 10 malam terakhir menjelang Aidilfitri.

Pelita tradisional diperbuat daripada buluh digelar panjut masih mendapat tempat biarpun dengan adanya pelbagai jenis pelita moden dihasilkan menggunakan bahan plastik serta lampu berwarna warni.

Berikutan permintaan yang menggalakkan, hobi masa lapang satu keluarga menyiapkan panjut pada bulan Ramadan akhirnya menjadi sumber pendapatan buat mereka yang turut mengusahakan perniagaan kedai makan di Warung Mak Ngah D’Corner di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, di sini.

Pemilik warung terbabit Kamsiah Khamis, 33, berkata, perniagaan warung makan ditutup sepanjang Ramadan, jadi mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan membuat panjut.

“Tahun lalu, kami bermula sebagai hobi tapi tidak menyangka ramai berkunjung ke warung ini yang menjadikannya lokasi pembuatan panjut hingga ada yang menempah dalam jumlah banyak,” kata Kamsiah.

Justeru, dia bersama suami Md Nazri Md Yusoff, 35, dan pembantu, Esa Jaapar, 28, memberanikan diri ‘memasarkan’ lampu pelita buluh tradisional di laman sosial Facebook.

“Tidak disangka, dalam tempoh singkat laman Facebook saya dibanjiri pertanyaan pengguna media sosial itu yang berminat membuat tempahan kerana tertarik dengan rekaan lampu pelita buluh tradisional.

“Malah untuk mengekalkan lagi ciri tradisional pelita buluh ini, saya menggunakan barangan seperti penutup botol minuman, tali serta kepingan aluminium untuk menghidupkan lampu pelita buluh,” katanya yang ditemui di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, di sini.

Katanya, selain memenuhi tempahan daripada pelanggan di sekitar Melaka, ada juga pelanggannya sanggup datang dari jauh semata-mata mahu mendapatkan lampu pelita tradisional berkenaan.

“Sebagaimana tahun lalu, sambutan tahun ini lebih menggalakkan apabila saya sudah menerima 1,000 tempahan sepanjang bulan ini,” katanya.

Malah ada masanya, anak perempuannya Nur Sumayyah Abdullah, 10, turut membantunya.

Menurutnya, dia akan mendapatkan bekalan pokok buluh daripada penduduk kampung di sekitar Kampung Panchor, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Beringin.

Pelita tradisional ini boleh dibeli pada harga antara RM7 hingga RM10 setiap satu. Kamsiah atau dikenali sebagai Mak Ngah boleh dihubungi di 017-678 8791.

Disiarkan pada: July 4, 2016 @ 10:14am
d