BANGGA kerana dalam masa tujuh bulan mampu mempunyai kedai sendiri.
LAW menunjukkan sabun pertama yang dihasilkan menggunakan minyak zaitun.
BERJAYA menghasilkan formulasi sabun menggunakan bahan semula jadi.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Ia bermula apabila anak kepada pengasas jenama The Olive Tree, Law Hong Mei menghidap ekzema. Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk menggunakan semua produk berasaskan bahan semula jadi serta memastikan persekitaran kediamannya berada dalam keadaan bersih, bebas habuk dan kutu, namun ekzema anaknya tetap tidak berubah.

Namun, segalanya berubah apabila adiknya yang menetap di Melbourne, Australia menghadiahkannya sebuku sabun diperbuat daripada tumbuhan semula jadi. Selepas menggunakan sabun ini, kulit anaknya bertambah baik. Ekzema semakin berkurangan dan hilang serta-merta manakala kulit Law sendiri semakin lembut dan bermaya. Ia sudah tentu sangat menakjubkan bagi Law kerana selama beberapa tahun dia membuat kajian dengan membaca pelbagai bahan bacaan di Internet, jurnal serta menggunakan pelbagai jenis produk, namun tidak berhasil.

“Saya sangat teruja apabila anak yang menghidap ekzema semakin sembuh. Saya turut menggunakan produk yang sama dan merasai kesannya pada kulit,” katanya gembira.

Menyedari kesukaran mendapatkan produk organik di Malaysia ditambah pula dengan permintaan yang kian meningkat, Law mendapat inspirasi untuk menghasilkan produk sendiri berasaskan tumbuh-tumbuhan dari Australia.

Dia yang ditemui di kedai pertamanya yang di pusat beli-belah 1 Utama menjelaskan, disebabkan keluarga mempunyai masalah kulit seperti ekzema, resdung dan asma dia banyak mencuba pelbagai produk, namun tidak berhasil.

Menerusi sabun diperbuat daripada minyak zaitun yang dikirim adiknya, dari situ Law mencari formulasi serta mendapatkan bantuan kepakaran daripada saintis yang tinggal di Australia untuk menghasilkan ramuan berasaskan minyak zaitun. Ketika itu juga dia berhasrat ingin membantu ibu-ibu yang menghadapi masalah sama agar mereka dapat mencari jalan penyelesaiannya.

“Saya memilih Australia kerana negara ini terkenal dengan bahan berkualiti dan segar. Saya sangat mementingkan pemilihan ramuan serta keaslian setiap bahan digunakan. Bermula dengan hanya dua produk saja iaitu syampu dan juga sabun mandi, tidak sangka sejak diperkenalkan pada November tahun lalu, dalam masa tujuh bulan saja The Olive Tree mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna di Malaysia.

“Dengan sambutan hangat daripada pengguna di Internet saya dapat membuka dua kedai pop-up sebelum melancarkan kedai pertama di Malaysia,” katanya.

Dengan keluasan 270 kaki persegi, kedai ini menampilkan suasana segar dan semula jadi, sama seperti produk The Olive Tree. Unsur organik pada hiasan dalaman kedai ini direka khas untuk mewujudkan persekitaran menenangkan agar pengalaman membeli-belah lebih menarik. Pada pandangan pertama, pelanggan pasti tidak terlepas daripada melihat titik tumpu dinding berwarna putih lagi terang. Keseragaman corak yang dihiasi bingkai gambar kehijauan menjadi latar belakang yang sungguh cantik untuk kedai ini.

Rahsia pada minyak zaitun

Jelas Law, rahsia kejayaan The Olive Tree adalah pada minyak zaitun yang diakui sejak turun temurun baik untuk kulit. Untuk permulaan, jenama itu mengeluarkan sabun buatan tangan yang dipotong-potong dan boleh didapati dalam tiga jenis wangian semula jadi iaitu serai, avokado dan macadamia. Terdapat juga sabun buatan tangan dalam bentuk buku dengan khasiat semula jadi minyak kelapa dan minyak zaitun.

“Minyak kelapa ditambah ke dalam resipi minyak zaitun untuk menghasilkan sabun yang lebih pejal agar tahan lebih lama. Formula terbaru ini memastikan sabun lebih berbuih, tetapi masih mengekalkan kelembapan kulit. Sabun buku ini boleh didapati dalam dua wangian asli iaitu charcoal cedarwood, dan juga aroma manis lagi romantik daripada ros geranium.

“Semua produk bebas daripada bahan kimia berbahaya, pengawet seperti paraben, phthalates dan sulfat, petroleum, pewarna dan pewangi tiruan. Kami juga tidak menggunakan bahan daripada haiwan dan membuat ujian ke atas haiwan. Sebab itu ia selamat dan boleh digunakan untuk bayi,” katanya.

Law memilih minyak zaitun sebagai bahan utama kerana sejak zaman dulu minyak zaitun digunakan dalam bidang kecantikan. Ia kaya vitamin E dan A serta antioksidan yang dapat mengurangkan kesan penuaan yang menjadi punca kepada penyakit dan kerosakan sel.

Minyak ini juga mengandungi oleocanthal iaitu sejenis kompaun yang dikatakan boleh mencegah keradangan. Ia juga menghasilkan aroma segar dan tidak memudaratkan hidung. Sabun diperbuat daripada minyak zaitun juga bersifat keras dan kurang berbuih justeru, ia tahan lama.

Menyedari ramai dalam kalangan pengguna inginkan mandian dalam bentuk cecair, dia menambah formulasi sabun kepada mandian dalam bentuk cecair. Ia sesuai untuk semua jenis kulit dan peringkat umur termasuk bayi dan kanak-kanak. Cecair mandian ini diperbuat menggunakan kaedah dan resipi turun-temurun mengandungi sabun asli berasaskan tumbuh-tumbuhan bersama minyak zaitun.

Kesan cecair ini sangat lembut pada kulit kerana kaya dengan glycerin. Minyak kelapa dicampur sedikit untuk menambahkan kadar buih dan kejernihan cecair ini.

Selain itu, penyental badan turut mendapat sambutan menggalakkan. Ini kerana produk ini bertindak lembut menanggalkan sel kulit mati dan menggalakkan pertumbuhan sel kulit baru, sekali gus memberikan kulit yang lebih sihat, licin dan awet muda.

“Kami menggunakan garam Epsom yang membantu dalam penanggalan sel kulit mati tanpa menyebabkan kekeringan atau ketegangan pada kulit. Kandungan magnesium dalam garam ini bukan saja membantu mengurangkan masalah selulit, malah mengeluarkan bahan toksin dan cecair dari kulit. Kandungan gula organik pula merapi dan melembapkan kulit manakala serbuk buluh ditambah untuk proses pengelupasan kulit yang lebih efektif.

“Ia boleh didapati dalam dua jenis wangian popular iaitu ros geranium dan lavender bergamot yang menenangkan. Penyental badan ros geranium mengandungi aroma oren manis dan serbuk calendula yang berperanan melegakan kerengsaan dan keradangan kulit. Lavender bergamot pula menggabungkan wangian lavender yang tenang dan minyak pati bergamot yang menenangkan,” katanya yang menetapkan harga berpatutan bagi setiap produk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 12:30 PM