DATUK Amar Singh Ishar Singh menunjukkan senjata api yang digunakan suspek. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Motif perniagaan membabitkan wang berjumlah RM13 juta dipercayai menjadi punca ejen hartanah wanita ditembak mati di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG, di sini, 6 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan kes selepas menahan lapan individu termasuk dua wanita yang menjadi perancang, orang tengah dan penembak, pada 19 Julai lalu.

Katanya, perancang utama kes berkenaan adalah sepasang suami isteri yang pernah menjalinkan hubungan perniagaan dengan mangsa.

"Siasatan mendapati mangsa menyerahkan wang berjumlah RM13 juta pada tahun lalu menerusi dua traksaksi di mana kali pertama sebanyak RM5 juta dan seterusnya RM8 juta bagi perniagaan seramik. Tetapi suspek enggan pulangkan semula selepas mereka dapati urusniaga berkenaan tidak dijalankan seperti diharapkan.

"Suspek perancang utama mendapatkan bantuan orang tengah membabitkan sepasang suami isteri untuk mendapatkan penembak bagi menembak wanita berkenaan.

"Kita turut menahan empat lelaki dipercayai menjadi perancang dan penembak bagi pembunuhan berkenaan. Polis turut merampas sepucuk pistol model Glock 19 bersama satu kelopak peluru daripada mereka yang disembunyikan dalam sebuah kereta di Chemor, Perak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Amar turut memaklumkan, siasatan terhadap senjata api yang ditemui didapati turut digunakan dalam tiga kes yang dilaporkan di Perak.

Katanya, dengan tangkapan dan rampasan senjata api berkenaan polis berjaya menyelesaikan empat kes membabitkan mangsa tembak.

"Semua suspek berusia 26 hingga 54 tahun direman selama enam hari sehingga 25 Julai ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 1:24 PM