WAN Shamimi menunjukkan VAV yang dihasilkannya.
PENGUNJUNG diajar cara memuat turun aplikasi VAV.
WAN Kamarul Zaman (dua dari kiri) bersama Wan Syamimi pada majlis pengenalan VAV.
Rashidah Ibrahim
wanita@hmetro.com.my

Wan Syamimi Wan Kamarul Zaman, 24, seperti kebanyakan lulusan universiti lain mengimpikan pekerjaan makan gaji selepas tamat pengajian. Namun ijazah sarjana muda kepujian di bidang Sains Pemakanan dan Nutrisi tidak menjanjikannya pekerjaan dengan mudah, apatah lagi pada zaman yang mencabar ini.

Akur dengan kelembapan pasaran kerja, graduan Universiti College Sedaya International (UCSI) itu pasrah dan menerima sahaja perancangan keluarga untuk masa depannya.

“Bapa mahu saya membabitkan diri dalam bidang keusahawanan. Namun bidang dicadangkan sangat asing iaitu pemasaran digital sedangkan pada asalnya saya merancang menjadi pensyarah dalam bidang nutrisi. Mula-mula saya ragu tetapi dengan berlapang dada serta dorongan keluarga dan selepas terbabit secara langsung, saya mula memahami dan yakin kebolehan sendiri,” katanya selaku Ketua Pegawai Operasi VAV Apps Sdn Bhd.

Bertanggungjawab memperkenal dan memajukan VAV, iaitu aplikasi mudah alih interaktif yang boleh bertindak balas kepada gelombang bunyi yang tidak dapat didengar atau terlalu perlahan dikenali ‘nada VAV’ , ia dapat menyatukan media digital interaktif dan media tradisional dengan bertindak sebagai landasan pengiklanan baru secara langsung antara pengguna dan pengiklan.

Anak bongsu daripada empat beradik itu menambah, aplikasi yang dilancarkan bulan lalu itu tidak perlukan sebarang peranti, hanya menggunakan telefon pintar untuk menerima maklumat yang disalur melalui siaran radio, TV atau mana-mana sistem audio.

Menurut Wan Syamimi, dengan pemboleh ‘nada VAV’, maklumat akan dihantar pada masa yang tepat melalui sistem penyampaian kos rendah, model perkongsian perniagaan berkeuntungan tinggi, fleksibel untuk pemasaran dan sasarannya.

“VAV terhasil daripada cetusan idea bapa yang dizahirkan oleh rakan kongsi teknonya, perkhidmatan ini boleh terlaksana asalkan ada gelombang bunyi di persekitaran sama ada melalui alat sistem audio (PA), televisyen atau radio. Apabila lagu atau bunyi disiarkan, telefon pintar yang sudah dimuatkan dengan aplikasi VAV akan dapat menerima isyarat frekuensi tinggi yang membawa informasi berkenaan,” terangnya lagi.

Dipercayai aplikasi pertama di dunia menggunakan sistem penyiaran berfrekuensi tinggi yang dikomersialkan, kini VAV menjadi platform yang sesuai untuk pengusaha besar, sederhana dan kecil mengiklankan perniagaan dengan kos rendah melalui saluran televisyen, radio dan sistem audio sama ada di luar atau dalam bangunan.

“Saya mendapat cetusan idea ini pada akhir 2014 dan memulakannya dengan penghasilan prototaip pada Jun tahun lalu dan alhamdulillah kami berjaya melancarkan aplikasi VAV,” celah Pengerusi Eksekutif VAV Apps Sdn Bhd Wan Kamarul Zaman Wan Yaacob.

Langkah seterusnya adalah untuk memperkenalkan VAV kepada pengguna atau penonton seramai boleh, mereka perlu memuat turun aplikasi itu, yang boleh didapati melalui Google Play dan Play Store dengan nama VAV KL.

“Saya hanya cetuskan idea dan dia (Wan Syamimi) bertanggungjawab terhadap pelaksanaan, lagipun ini bidang orang muda. Untuk berjaya, VAV memerlukan pembabitan dua pihak iaitu pemilik perniagaan sebagai pelanggan kami dan pengguna aplikasi VAV yang menerima manfaat diskaun atau informasi terkini daripada setiap iklan yang disampaikan bersama kupon pembelian atau baucar tawaran untuk ditebus oleh pengguna berpandukan gambar di telefon masing-masing,” ujar Wan Kamarul Zaman.

Menurutnya lagi, lebih ramai memuat naik aplikasi ini lebih meluaslah capaian informasi pengiklan dan lebih berkesan perkhidmatan itu. Ketika ini penghantaran kupon VAV boleh didapati menerusi saluran 304 Astro yang melanggan perkhidmatan VAV. Tetapi, pihak VAV sedang berusaha merangka kerjasama dengan syarikat penyiaran lain untuk meluaskan penggunaan VAV.

Penonton menggunakan aplikasi itu secara percuma manakala pengiklan perlu mendaftar dengan yuran keahlian bulanan rendah dan pengiklan hanya dicaj mengikut jumlah kupon yang penonton tebus terhadap iklan dipaparkan.

VAV membuka jalan kepada peniaga kecil, sederhana dan besar untuk mengiklan barangan masing-masing melalui media tradisional dengan harga rendah. Antara pihak mendaftar adalah pusat beli-belah yang mempunyai lima rangkaian gedung di Lembah Klang.

“Kini kami dalam proses perbincangan akhir dengan pengusaha media TV di Jakarta, Indonesia dianggarkan mempunyai 300,000 pengguna berpotensi memuat naik aplikasi VAV.

“Sambutan di Indonesia amat memberangsang, mereka yakin dengan potensi hebahan informasi melalui VAV kerana sistem ini menawarkan cara pengiklanan terunggul kepada pengusaha (pengiklan) dan stor yang mendekatkan mereka dengan sasaran melalui kempen peribadi pada kos berpatutan,” ulas Wan Kamarul Zaman.

Menurutnya lagi, Syarikat VAV berjaya mendapat kepercayaan dan sokongan beberapa pelabur di Malaysia, melalui sokongan modal pelaburan dan bantuan dana daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah program Superb Grant.

“Bidang ini mungkin asing bagi anak saya pada awalnya, namun sebagai bapa saya perlu menunjukkan jalan dan menjadi mentor agar anak tidak terkapai-kapai mencari arah kerjaya apatah lagi dalam suasana dunia tanpa sempadan sekarang. Mereka tidak boleh menumpukan hala tuju kerjaya di dalam negara sahaja, bahkan perlu berusaha sehingga ke peringkat antarabangsa,” kata Wan Kamarul Zaman.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan VAV dan ingin mengetahui lebih lanjut, boleh layari www.vavapps.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 11:54 AM