CALVIN.
MEMILIKI peralatan digital turut memudahkan Calvin menyiapkan komik di luar rumah.
CALVIN (dua dari kiri) bersama rakan sepejabat yang turut menghasilkan komik web lain seperti Komik Ropol-ropol, Komik Sakarzam dan Komik FB Chan.
KOMIK Ginjal turut mengutamakan ekspresi karakter dalam menyampaikan unsur komedi.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my


Bagi pembaca dan penggemar komik web, siri Komik Ginjal antara komik web yang mendapat perhatian ramai bukan saja kerana karakter dan lukisan ditonjolkan tetapi juga unsur komedi ditampilkan dalam komik berkenaan.

Menurut pelukis serta pengasas Komik Ginjal Calvin Tony Lokeemin, 29, Komik Ginjal masih baru dalam arena komik web dan mula diterbitkan pada Mac tahun lalu.

Calvin berkata, komik web mudah dihasilkan jika seseorang itu mempunyai peralatan serta kemahiran namun ia menjadi sukar ketika proses mengeluarkan idea dan mesej untuk disampaikan kepada pembaca.

Katanya, komik web juga memerlukan rekaan karakter yang mantap selain mengutamakan ekspresi muka karakter kerana ia adalah elemen pertama untuk menarik minat orang ramai.

“Saya banyak fokus kepada ekspresi muka karakter itu sendiri kerana ekspresi di bahagian muka antara kunci utama untuk mengetengahkan unsur komedi yang ingin saya sampaikan.

“Namun, apa yang penting adalah penceritaan serta mesej itu sendiri kerana penceritaan yang bagus mampu membuat pembaca untuk ‘ketagih’ kepada komik anda.

“Seperti yang saya katakan, lukisan yang mantap dan cantik dapat menarik orang untuk membaca namun apa yang membuat mereka terus membaca dan tidak sabar untuk membaca komik itu adalah gaya penceritaan serta mesej disampaikan,” katanya.

Calvin berkata, idea dan inspirasi untuk menghasilkan komik itu bermula apabila dia bekerja sebagai pelukis gambaran cerita di Les’ Copaque Production.

“Bekerja sebagai pelukis gambaran cerita memerlukan saya mengutamakan penceritaan selain memfokuskan kepada pelbagai sudut kamera bagi menghasilkan impak yang terbaik kepada penonton.

“Saya perlu berterima kasih kepada syarikat juga kerana secara tak langsung tugas berkenaan banyak melatih saya untuk menyampaikan cerita dengan mantap dan dari situ Komik Ginjal terhasil,” katanya.

Katanya, orang sekeliling turut menjadi pendorong untuk menghasilkan komik web kerana beberapa komik web lain seperti Komik Ropol-ropol, Komik Sakarzam dan Komik FB Chan adalah rekaan dan hasil karya rakan sepejabatnya.

Calvin yang juga lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan rekaan grafik itu turut mengakui lukisan secara digital lebih mudah dan cepat kerana berbanding lukisan manual, lukisan digital mampu disiapkan dalam satu hari saja.

“Untuk hasilkan Komik Ginjal, saya gunakan teknik dan medium digital sepenuhnya kerana lebih pantas dihasilkan kerana ia lebih mudah dibetulkan dan proses mewarna juga jadi lebih pantas. Saya boleh siapkan satu komik empat panel dalam satu hari saja.

“Sebenarnya ia cuma ambil masa beberapa jam tapi kebiasaannya saya siapkan komik ini selepas waktu kerja sekitar jam 11 malam hingga 2 pagi.

“Walaupun perlu luangkan lebih masa untuk hasilkan komik ini, saya tidak patah semangat kerana minat yang mendalam serta keterujaan untuk menyampaikan cerita kepada pembaca menjadi pembakar semangat,” katanya.

Menurut Calvin, perancangan dalam masa terdekat adalah untuk menerbitkan kompilasi Komik Ginjal dan ia dijangka berada di pasaran sekitar hujung tahun ini.

INFO

- Nama: Calvin Tony Lokeemin

- Usia: 29 tahun

- FB: www.facebook.com/moginjal/

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 10:40 AM