mutakhir

Menuntut lebih mudah, efektif melalui 'OpenLearning'

Shah Alam: Penuntut universiti kini berpeluang menikmati kaedah pembelajaran atas talian yang lebih efektif dan menarik yang boleh diakses melalui platform ‘OpenLearning’.

Pembaharuan itu dilaksanakan melalui kerjasama antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan OpenLearning yang bertanggungjawab membangun dan menawarkan kursus terbuka dalam talian atau lebih dikenali sebagai Kursus Terbuka Dalam Talian ‘Massive Open Online Course’ (MOOCs).

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, ia berikutan aliran pembelajaran atas talian kini lebih menjadi pilihan penuntut universiti masa kini berbanding mendapatkan ilmu dalam bilik kuliah.

“Penuntut kini lebih gemar kepada teknologi yang mudah diakses di mana saja dan dengan adanya kaedah ini, kita melihat kepada cara pembelajaran baru kepada penuntut UiTM.

“Dengan kerjasama ini juga, UiTM dapat menyediakan satu konsep baru kepada penuntut dan pada masa sama masih mengekalkan pembelajaran kuliah yang mana penuntut masih bertemu untuk mendapat bimbingan pensyarah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkongsian untuk Kursus Terbuka Dalam Talian (MOOCs) di sini, semalam.

Hadir sama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OpenLearning Adam Brimo.

Hassan berkata, daripada perkongsian itu, pensyarah UiTM sudah membangunkan 16 kursus dalam talian dan akan terus mewujudkan lebih banyak kursus.

Sementara itu, Adam berkata, perkongsian antara UiTM dan OpenLearning membuktikan kedudukan Malaysia dalam MOOCs serta komitmen terhadap pembelajaran aktif dalam sistem pendidikan tinggi.

Katanya, lebih 500,000 penuntut dari Malaysia dan seluruh dunia sudah berdaftar dalam MOOCs.

Disiarkan pada: August 24, 2016 @ 6:26am
d