PASUKAN kebanggaan negara kumpul 3 ahli baru dari Filipina dan Amerika Syarikat.
PASUKAN kebanggaan negara kumpul 3 ahli baru dari Filipina dan Amerika Syarikat.
PASUKAN kebanggaan negara kumpul 3 ahli baru dari Filipina dan Amerika Syarikat.
Hazril Md. Nor
gen.y@hmetro.com.my


Kejohanan The International 2016 baru-baru ini meninggalkan kesan kepada arena kompetitif Dota 2 secara keseluruhannya. Difahamkan, banyak pasukan mengalami fasa penambahan dan penyingkiran pemain demi bersiap sedia menghadapi kejohanan musim luruh tidak lama lagi.

Pasukan kebanggaan negara, Fnatic tidak terlepas menerima nasib sama apabila terpaksa melepaskan tiga pemain berkaliber iaitu DJ, 343 dan MidOne.

Memetik laporan daripada GosuGamers, DJ juga satu-satunya ahli kelahiran Filipina akan aktif di sana saja buat masa ini. MidOne pula menyertai Team Secret manakala 343 mengambil keputusan berehat sebentar dari dunia kompetitif Dota 2.

Keputusan itu seterusnya meninggalkan Chai Yee Fung (Mushi) dan Chong Xin Khoo (Ohaiyo) sebagai ahli kekal.

Namun, tak lama kemudian kekosongan terisi apabila bekas ahli pasukan TNC, Demon, Eyyou dan Raven kini menyambung legasi pasukan negara.

Pengurus Fnatic Khor Wei Soon, 28, berkata terdapat perubahan ketara dalam pasukan berikutan mereka (pemain kekal) memerlukan masa menyesuaikan diri dengan kemasukan ahli baru.

"Kiranya kita perlu mula dari bawah disebabkan hilangnya tiga pemain yang memang sudah ada impak nyata dalam permainan. Faktor keserasian, kerjasama dan keselesaan perlu dibentuk dari awal kerana ia menentukan kekuatan pasukan.

"Mungkin pada mulanya perlukan sedikit masa kerana sebelum ini pun Fnatic tidak mengalami pertukaran besar sebegini dalam tempoh singkat. Hasrat saya ialah memastikan mereka bersiap sedia secepat mungkin untuk menghadapi kejohanan luar seterusnya," katanya.

Kelebihan pemain baru

Bercerita mengenai pemain baru Fnatic, Jimmy 'Demon' Ho, Marc Polo 'Raven' Luis Fausto dan Nico 'Eyyou' Barcelon masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Menurut Khor, Jimmy yang berasal dari Amerika Syarikat dipilih kerana prestasinya yang konsisten sepanjang bersama TNC dan kecekapannya sebagai kapten.

Malah, katanya tidak mustahil jika Jimmy dilantik menjadi ketua bagi mengganti Mushi.

"Jimmy sudah lama dalam industri dan pernah menyertai banyak pasukan pilihan sepanjang kariernya. Saya yakin kerana bakat dan kemahirannya, dia akan menjadi ikutan serta tunjukkan contoh terbaik kepada ahli pasukan lain," katanya.

Marc Polo pula dipilih bagi mengisi kekosongan karakter bantuan yang mungkin tidak lengkap tanpa kehadiran Demon. Selain berdedikasi dan komited, kehadiran Marc bakal menjadikan Fnatic lebih berkuasa di medan pertarungan.

Tentunya tidak lengkap Fnatic tanpa 'carry' atau lebih difahami sebagai pemain yang mahir menggunakan karakter pembunuh. Khor berkata, disebabkan kehadiran Jimmy dan Marc, dia berasakan lebih sesuai jika Raven turut serta kerana sudah wujud faktor keselesaan antara tiga bekas ahli TNC itu.

Malah, katanya, pemilihan ini tepat berikutan persetujuan pemain untuk menjalani latihan di Malaysia. Masalah mungkin berlaku jika pemain terdiri dalam kalangan warga Eropah kerana faktor lokasi.

Ketika ditanya mengenai isu komunikasi antara pemain berlainan bangsa, kata Khor, tidak ada masalah kerana mereka menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan seharian.

"Selama ini kami menetapkan peraturan menggunakan bahasa Inggeris untuk memudahkan semua pemain. Keupayaan Mushi dan Ohaiyo berkomunikasi juga sudah bertambah baik berbanding tahun lalu," katanya yang mengharapkan prestasi Fnatic kembali pulih untuk berdepan saringan Asia Tenggara.

Penulis mengucapkan selamat maju jaya kepada Fnatic. Semoga kegemilangan di TI 6 lalu dapat diteruskan dalam kejohanan ketujuh pula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 11:33 AM