TERTUDUH keluar dari mahkamah selapas didakwa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM4 juta, tahun lalu.

Khalid, 56, didakwa membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memiliki wang berjumlah RM1,984,797.08 dalam akaun Amanah Saham Wawasan 2020 miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Amanah Saham Nasional Berhad, Menara PNB, Jalan Tun Razak pada 1 September 2015.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan memiliki wang berjumlah RM2,135,634,13 di akaun Amanah Saham Didik miliknya di tempat yang sama pada 1 Julai 2016.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram ( AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memindahkan kes itu untuk dibicarakan bersama dengan 16 lagi kes yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Melaka.

Mahkamah juga membenarkan jaminan RM250,000 seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Melaka sebelum ini berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Melaka.

Pada 29 September lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka terhadap 16 pertuduhan di membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.28 juta antara Mac 2014 dan 15 Ogos lalu.

Berita berkaitan:

Datuk JKR dituduh rasuah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 12:19 PM