CERIA Lyna dan suami bersama tiga anak mereka ketika mengembara di tujuh negara.
LYNA ketika bercuti bersama keluarga.

Melancong memberikan 1,001 pengalaman apatah lagi sekiranya mengunjungi negara yang belum pernah dilawati sebelum ini. Ramai melancong kerana ingin melihat keindahan negara orang namun ada juga yang menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai agenda utama. Golongan ini memilih untuk melancong dengan cara lebih tersusun dan berjadual kerana tidak mahu menyusahkan diri sendiri.

Keadaan ini berbeza bagi ibu empat cahaya mata, Siti Nurazlina Noh apabila memilih untuk mengembara secara ‘backpacking’, atau hanya membawa beg galas bersama suami dan anak. Lebih mencabar apabila anak keduanya, Fahry adalah anak kurang upaya (OKU) yang memerlukan perhatian sepenuhnya sepanjang pengembaraan.

Sudah mengunjungi 54 negara setakat ini, jelas Siti Nurazlina yang lebih dikenali sebagai Lyna, minat mengembara bersama anak bermula ketika menemani suami membentangkan kertas kerja di simposium London pada 2010.

Ketika itu anak sulungnya, Hafiy berumur tiga tahun manakala anak kedua Fahry berumur setahun setengah.

“Pengalaman membawa anak sangat menyeronokkan. Namun ada kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila diberitahu pesawat yang membawa kami tidak boleh mendarat di London berikutan letusan gunung berapi di Iceland. Lalu pesawat membuat pendaratan di Schipol, Amsterdam. Ketika itu banyak lagi pesawat yang terpaksa mendarat di Amsterdam menyebabkan keadaan begitu sesak.

“Meskipun kami dijadualkan menaiki penerbangan berikutnya, semua penerbangan pada ketika itu dibatalkan berikutan asap tebal dan lapangan terbang Heathrow ditutup. Akhirnya kami menaiki kereta api Eurostar dari Amsterdam ke London. Mujurlah stesen kereta api berada di lokasi yang sama dengan lapangan terbang,” katanya memulakan cerita.

Setibanya di sana, oleh kerana suami sibuk dengan urusan kerja, Lyna mencari maklumat mengenai London kerana mahu mengambil peluang membuat lawatan sendiri di sekitar London. Bagi Lyna, rugi jika peluang yang ada tidak digunakan sepenuhnya.

“Disebabkan suami sibuk, saya dan dua anak hanya bergerak di sekitar London menggunakan kemudahan bas hop on hop off. Ini kerana saya takut sesat, bas ini hanya bergerak di dalam lingkungannya, jadi saya tidak risau. Namun ketika pulang dari Muzium Madame Tussauds, sudah malam. Sebenarnya lebih mudah menaiki ‘tube’ ke penginapan kami yang berhampiran stesen Bayswater. Namun disebabkan ingin mencuba bas dua tingkat, akhirnya saya sesat dan terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke tempat penginapan,” katanya.

Pengembaraan di London meninggalkan kenangan dan kerinduan yang sukar diungkapkan. Apatah lagi pada usia mencecah 30 tahun belum ada pencapaian yang boleh dibanggakan. Lalu Lyna dan suami, Zainul Amuar Samni mengambil keputusan mengembara secara ‘backpacking’ ke Eropah.

“Ketika itu anak ketiga kami Danny berusia 13 bulan. Berbekalkan hanya satu beg kami mengembara ke tujuh negara iaitu Perancis, Itali, Switzerland, Belanda, Scotland, England dan Wales serta 17 bandar termasuk Paris, Versailles, Rome, Geneva, Montreux, Lausanne, Lucerne, Bern, Zermatt, Chur, Zurich, Amsterdam, Newcastle, Edinburgh, Manchester, Cardiff dan London. Ia adalah perjalanan legenda kerana sebelum ini kami tidak pernah ke mana-mana dengan membawa satu beg saja.

“Mulanya rasa janggal juga semua keperluan perlu diminimumkan termasuk pakaian. Namun dengan pembacaan dan perancangan menjadikan semuanya berjalan lancar malah selepas itu kami semakin selesa dengan pengembaraan cara begitu,” katanya.

Jelas Lyna, dia memilih mengembara secara ‘backpacking’ kerana ingin mendapatkan kepuasan dan mencabar diri sendiri. Dengan membawa barang keperluan yang minimum, ia mendidik untuk membuat perancangan dengan baik.

“Sebelum bertolak, saya perlu memastikan segala keperluan ringkas dan lengkap. Bayangkan jika negara yang bakal dikunjungi mengalami dua musim berbeza - panas dan sejuk. Jadi perlu ada keperluan untuk kedua-dua musim ini.

“Kepuasannya berbeza - bermula daripada merancang, kerana perancangan sangat penting. Sama ada mahu berjalan atau menaiki kenderaan awam. Semasa mengembara saya perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan seperti tersalah naik bas, tersilap kereta api atau sesat. Semua itu menjadi proses pembelajaran buat kami termasuk anak,” katanya.

Universiti kehidupan

Benar kata pepatah, ‘jauh berjalan luas pengalaman’. Dalam setiap pengembaraan, Lyna mengakui banyak pengalaman dan cabaran terpaksa ditempuhi. Malah di setiap negara ada kisah yang boleh dipelajari. Ia ibarat universiti kehidupan. Ini kerana setiap negara memiliki budaya, bahasa dan cara berbeza. Sebagai pengembara sudah pasti dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ini.

“Misalnya di Jepun, kita tidak boleh sendawa di meja makan. Sebaliknya di China, sendawa adalah satu penghargaan kepada tukang masak. Di Chile pula, makan dengan tangan adalah satu perkara yang kurang ajar. Walaupun kebanyakan mereka sudah tidak kisah kerana kita pengembara, namun mempelajari etika berbeza mengajar saya untuk lebih bertoleransi,” katanya.

Ditanya negara paling menarik dan ingin dilawati, jelas Lyna memang sejak dulu dia teringin mengembara ke Iceland. Peluang mengunjungi pulau itu memberikan pengalaman bermakna. Mungkin disebabkan Lyna dan suaminya berpeluang menikmati keindahan seluruh pulau itu bersama-sama. Perjalanan paling mencabar pula ketika mahu berangkat ke Mesir dari Jordan.

“Sehari sebelum penerbangan, Kaherah dikejutkan dengan peristiwa pemberontakan yang berlaku antara penganut Kristian dan penduduk Islam. Kami hampir-hampir membatalkan penerbangan ke Kaherah. Tambahan pula hotel yang sepatutnya diduduki berhampiran dengan Dataran Tahrir.

“Bagaimanapun, saya berjaya menghubungi seorang sahabat yang tinggal di Kaherah. Akhirnya saya dan suami memutuskan untuk meneruskan perjalanan dan menumpang di rumah sahabat saya itu. Ketika itulah juga saya mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di sana. Namun segalanya kini menjadi kenangan manis,” katanya tersenyum.

Dia yang kini menjadi suri rumah dan menjalankan perniagaan sepenuh masa memberitahu ketika masih bekerja dia tiada masa untuk mengembara. Selepas melepaskan jawatan, dia mengembara sepuas hati malah turut membawa ibu, bapa dan adik-beradik lain.

“Saya bersama ahli keluarga pernah berkereta di Ireland, New Zealand, Australia dan serata Malaysia dengan jadual yang fleksibel. Saya rasa saya tidak mampu melakukannya jika masih bekerja. Dari segi masa dan juga kewangan. Selama bekerja, saya sangat jarang bercuti, apatah lagi membawa ibu, ayah dan mentua bercuti bersama. Dengan kebebasan yang ada, saya berpeluang mencipta pengalaman serta kenangan bersama seluruh ahli keluarga dan itu lebih bermakna buat saya,” katanya.

Setelah mengembara hampir di serata dunia, Lyna mendapati apa yang diceritakan mengenai sesuatu negara itu kebanyakannya tidak benar. Misalnya, Amerika Selatan sering dikaitkan dengan orang jahat dan jenayah. Namun hakikatnya penduduk di sana peramah, baik hati dan menghormati orang lain. Walaupun kebanyakannya tidak pandai berbahasa Inggeris, mereka tetap berusaha menjawab pertanyaan apabila diperlukan.

“Apabila berada di negara yang kali pertama dijejaki, saya perlu sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan tidak boleh berada di zon selesa. Hasilnya, saya lebih tabah dan yakin untuk mengambil sebarang keputusan. Saya juga banyak belajar daripada kehidupan orang lain di tempat asing.

“Misalnya golongan gelandangan di Jepun sentiasa sibuk dengan buku di tangan. Mereka tidak meminta-minta di tepi jalan seperti gelandangan di Eropah dan Australia. Saya juga berpeluang belajar beberapa bahasa dan mengguna pakai pengalaman menonton telenovela Rosalinda untuk berbual dengan orang di Peru,” jelasnya.

Membawa anak kecil ketika mengembara memerlukan kesabaran. Ini kerana anak tetap bersifat keanak-anakan tidak kira di mana mereka berada. Sebagai ibu tidak boleh mengharap mereka akan berubah apabila berada di tempat lain.

Selain itu merancang aktiviti adalah sangat penting agar anak tidak terlalu penat dan bosan bagi mengelakkan mereka melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

“Sebagai ibu perlu memastikan anak cukup tidur dan rehat serta kenyang supaya perasaan mereka dalam keadaan baik. Ibu bapa perlu lebih banyak bersabar dan tidak boleh terlalu optimis, misalnya ingin melawat satu daerah,atau berjalan dari pagi sampai ke malam. Lebih-lebih lagi saya memiliki anak OKU yang tidak boleh berjalan terlalu lama. Justeru saya perlu memastikan snek dan ubat-ubatan sentiasa ada,” katanya memberikan panduan pengembaraan bersama anak kecil.

Katanya, untuk mengembara secara ‘backpacking’ dengan keluarga, Lyna mencadangkan ibu bapa merancang lebih awal, agar ada masa untuk menyediakan dana dan keperluan.

Ini kerana mengembara bersama keluarga berbeza dengan melancong secara solo atau bersama kawan. Dengan keluarga, walaupun dikatakan jimat ia tetap memerlukan belanja yang besar. Oleh itu, rancanglah dari awal terutama kewangan.

“Paling penting buang tanggapan ‘anak saya nakal dan susah dibawa mengembara bersama’. Hakikatnya anak lebih mudah sesuaikan diri di tempat baru. Rancang aktiviti untuk anak seperti membuat buku skrap atau jurnal pengembaraan agar mereka dapat menghargai pengalaman ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Keistimewaan mengembara bersama anak kecil (di bawah dua tahun)

1. Tiket percuma

Kanak-kanak di bawah usia dua tahun hanya perlu membayar caj dan cukai saja untuk tiket kapal terbang termasuk bas.

2. Senang bergerak

Membawa anak kecil yang belum boleh berjalan agak menyenangkan pergerakan. Ini kerana ibu bapa hanya perlu menggunakan penggendong bayi sesuai. Ibu bapa tidak perlu risau keselamatan anak malah si kecil pun seronok dipeluk ibu atau ayah.

3. Dapat keutamaan

Membawa bayi bersama-sama akan mendapat keutamaan. Contohnya berpeluang memasuki pesawat lebih awal dan diberikan keutamaan menaiki kenderaan awam. Di lapangan terbang pula ada laluan istimewa untuk ibu dan bayi.

4. Senang ketika makan

Percaya atau tidak membawa bayi ketika mengembara terutama ‘backpacking’ adalah lebih mudah berbanding kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak sudah pandai memilih apa yang mereka inginkan. Berbeza dengan bayi kerana susu atau buah-buahan lembut sudah memadai.

5. Tidak banyak ragam

Kanak-kanak biasanya ada perangai sendiri terutama apabila kemahuan tidak dituruti. Berbeza dengan bayi kerana mereka belum pandai meminta. Mereka juga tidak akan terlepas dalam dukungan ibu bapa. - Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:02 AM