Abdul Rahman (dua dari kiri) selepas pengebumian jenazah cucunya, Mohd Roshamnudin (gambar kanan) di Tanah Tanah Perkuburan Islam Kampung Teriang, Endau, Mersing, malam tadi - Foto IKHWAN MUHAMMAD
BERNAMA

Mersing: “Saya rasa tidak sedap hati kerana setiap kali menziarahi keluarga anak, tangan cucu saya itu ada kesan luka yang tidak sembuh-sembuh," kata datuk kepada kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun yang ditemui mati di rumahnya Rabu lalu.

Abd Rahman Sandaran Abdullah, 47, berkata pada masa itu dia menyangka cucunya, Mohd Roshamnudin Abdullah, terjatuh sendiri.

Katanya, setiap kali dia berkunjung ke rumah anak perempuannya di Endau, dia dapati seperti ada yang tidak kena pada cucunya itu.

"Saya sering menasihatkan ibu dan bapa tirinya supaya tidak melakukan perkara luar jangkaan hanya disebabkan cucu saya itu kurang upaya," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah kanak-kanak itu di Tanah

Perkuburan Islam Kampung Triang Besar, dekat sini, kira-kira 11.30 malam tadi.

Dia yang terkejut dengan kematian cucunya itu Mohamad Roshamnudin Abdullah, 11, berkata sebelum ini cucunya itu tinggal bersama bapa dan adiknya di Kedah sebelum ibunya mengambil keputusan menjaga anaknya itu.

Abd Rahman berkata, kali terakhir bertemu cucunya pada Aidiladha baru-baru ini.

Rabu lalu, mangsa didakwa ditemui terbaring dengan kakinya dihempap tong air dalam bilik air rumahnya oleh ibunya sebelum kemudian disahkan meninggal dunia selepas dibawa di Klinik Kesihatan Endau.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil bedah siasat mendapati ada kesan penderaan yang serius pada anggota badan kanak-kanak itu dan polis menahan ibu, bapa tiri dan abang bapa tiri mangsa untuk siasatan.

Menurutnya, kes kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 11:01 PM