AFANDI Oh menunjukkan pembungkusan kebab yang memudahkan pelanggan menikmatinya.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Inky Sdn Bhd (Inky), pemegang francais induk bagi jenama Kebab Turki Baba Rafi berhasrat meluaskan pasaran jenama itu di Malaysia dengan sasaran pembukaan 150 cawangan dalam tempoh empat tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Afandi Oh Omar Oh berkata, sehingga kini jenama terbabit sudah memiliki 20 cawangan di seluruh negara dan ia dijangka bertambah kepada 30 cawangan dalam tempoh terdekat.

“Kami amat mengalukan penyertaan daripada individu berminat untuk menyertai program francais ini di mana masih banyak lokasi yang belum diterokai jenama ini meskipun sudah diperkenalkan di Malaysia sejak empat tahun lalu,” katanya, di sini.

Kebab Turki Baba Rafi adalah jenama francais dari Indonesia yang kini memiliki 1,200 cawangan di Indonesia dan ia mula berada di pasaran tempatan sejak Mei 2012 selain pasaran global lain seperti China, Sri Lanka, Belanda, Filipina, Singapura, Bangladesh dan Brunei.

Beliau berkata, individu berminat boleh membuka perniagaan francais ini dengan modal serendah RM100,000 bergantung kepada jenis cawangan dan lokasi cadangan yang perlu berada dikawasan dengan trafik tinggi terutama di pusat beli-belah.

“Mereka boleh membuka cawangan dengan saiz seperti kios di mana ia boleh menjana pendapatan baik berikutan ia mampu mengurangkan kos pengurusan dan perlu merebut peluang perniagaan itu untuk memperkenalkan jenama ini terutama di kawasan yang masih belum diterokai,” katanya sambil menambah maklumat lanjut, boleh layari laman web www.babarafi.com.my.

Sehingga kini, cawangan Kebab Turki Baba Rafi terdapat di Kelantan, Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak dengan majoriti cawangan berada di kawasan Lembah Klang.

Kebab Turki Baba Rafi adalah rangkaian jenama francais kebab terbesar di Malaysia di mana ia menawarkan menu kebab daging, ayam, hot dog dan sayuran dengan pilihan roti dan sos di samping menu lain seperti burger, hot dog dan shawarma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 7:32 AM