KANAK-KANAK diberi pendedahan mengenai penjagaan gigi sempena Misi Dakwah Sabah 2016 Muslim Care Malaysia di Pulau Mabul.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atas nama kemanusiaan, Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) sedang berusaha mengumpul dana untuk menyediakan sebuah klinik khusus untuk penduduk di Kampung Pulau Mabul, Sabah yang tiada kemudahan itu.

Penolong Setiausaha Kerja Muslim Care, Abdul Razak Mohamed berkata, penyediaan kemudahan itu termasuk dalam satu daripada tumpuan projek dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kerana mengambil kira risiko serta faktor penduduk berkenaan yang hanya menerima rawatan perubatan setahun sekali saja.

“Melalui misi kami ke perkampungan itu sebelum ini, kita dapati 3,100 penduduk di Pulau Mabul tidak mendapat rawatan perubatan asas seperti kita kerana ketiadaan kemudahan klinik yang mana kebarangkalian mereka mendapat penyakit berjangkit dan masalah kulit adalah tinggi.

“Sukarelawan kami terdiri daripada pakar perubatan di sekitar Tawau dan Semporna akan turun ke perkampungan itu sekurang-kurangnya sebulan sekali kerana kos untuk ke pulau itu menelan belanja besar, namun sekiranya peruntukan dana yang diperoleh banyak, operasi klinik akan dibuka dengan lebih kerap,” katanya.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya memerlukan kira-kira RM20,000 untuk kos ubat-ubatan dan peralatan yang akan digunakan dalam klinik itu.

“Alhamdulillah setakat ini kos premis kita sudah jimat apabila pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mabul bersetuju menawarkan sebuah bilik untuk digunakan sebagai operasi klinik sementara dan perkara ini akan dibincangkan lebih terperinci.

“Namun, kita masih memerlukan dana kira-kira RM20,000 untuk kos peralatan dan ubat-ubatan yang akan digunakan untuk merawat penduduk nanti,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Muslim Care turut mencari dana RM200,000 untuk membiayai projek Klinik Kesihatan dan Pergigian bergerak untuk kegunaan program dakwah pedalaman dan Orang Asli, misi bantuan kemanusiaan dan bencana alam serta perkhidmatan kesihatan dan pergigian percuma di sekitar Semenanjung.

Orang ramai yang ingin bersama Muslim Care mengambil bahagian dalam projek ini boleh menyumbang seikhlas hati menerusi akaun Maybank 5644904-13882, RHB 26-2120-0000-4747, 14010- 007654717 (Bank Muamalat) dan 14014010147470 (Bank Islam) atas nama Muslim Care Malaysia atau hubungi talian Exco Muslim Care merangkap Ketua Unit Kebajikan Ahmad Safuan Ujar di talian 013-4886447.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 9:45 AM