PENGARAH MBK, Abd Wahab Ibrahim (kanan) menyampaikan sumbangan wang kepada penghuni Rumah Perlindungan Wanita Teratak Arfidah Sinar Salam.
DR Rahman mendendangkan puisi indah.
AHLI Pengkarya Guru bersama kanak-kanak dari Rumah Perlindungan Wanita Teratak Arfidah Sinar Salam.
Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my

Setiap anak yang lahir ibarat kain putih yang bersih daripada segala cacat cela dunia. Ibu dan bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya dengan ajaran berguna.

Namun tidak semua anak yang lahir itu menikmati kehidupan mewah, apatah lagi selesa yang lengkap dengan segala kemudahan di sekelilingnya.

Makanan, pakaian dan tempat tinggal sememangnya tiga perkara asas yang diperlukan manusia, termasuk si kecil, agar kehidupan yang serba daif itu dapat diteruskan seadanya.

Aspek pendidikan bagaimanapun tidak dilupakan kerana ia juga dapat membantu dalam kehidupan si kecil ini kelak.

Menyedari pentingnya pendidikan dan persediaan untuk ke sekolah, sekumpulan pegawai perkhidmatan pendidikan yang majoritinya dalam kalangan guru berganding tenaga, masa serta wang untuk membantu anak bertuah dari Rumah Perlindungan Wanita Teratak Arfidah Sinar Salam, Kuala Lumpur.

Kumpulan dikenali Pengkarya Guru itu menganjurkan program ziarah untuk kanak-kanak dari rumah perlindungan terbabit bagi membantu anak gelandangan dan terbiar bersiap sedia menempuhi sesi persekolahan 2015.

Selain itu, program itu juga bertujuan memperkenalkan Pengkarya Guru kepada masyarakat.

Pengkarya Guru di bawah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBK) adalah program peningkatan profesionalisme pegawai perkhidmatan pendidikan yang dinaungi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Guru terbabit seterusnya dilatih dan diberi kemahiran bagi menghasilkan karya bermutu seperti novel, cerpen, puisi dan buku kanak-kanak untuk dipasarkan di bawah penerbitan terpilih.

Sepanjang tahun ini, empat siri latihan dianjurkan dengan pembabitan 100 guru dari seluruh negara. Sepanjang dua bulan, kumpulan guru ini diberi latihan dan ruang masa untuk menulis sehingga menghasilkan karya yang boleh diterbitkan lalu dilancarkan di Pesta Buku Antabangsa Kuala Lumpur 2015.

Karya dalam kalangan guru ini juga akan digunakan di sekolah seluruh negara bagi tujuan pendidikan.

Selain itu, produk Pengkarya Guru turut dipersembahkan di peringkat antarabangsa antaranya di Pesta Buku Kanak-Kanak Bologna, Itali.

Jelas Ketua Pengkarya Guru Sesi 2014, Azman Abdullah, idea melaksanakan program ini tercetus ketika sesi penulisan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Peserta sesi penulisan itu tersentuh melihat kanak-kanak jalanan ini terabai dan dalam sesi temu bual yang dijalankan, kebanyakannya kurang dipedulikan ibu bapa mereka.

"Atas rasa keinsafan dan kemanusiaan, ahli Pengkarya Guru mula berbincang di dalam talian menggunakan aplikasi Telegram untuk menganjurkan program yang mampu beri impak kepada kanak-kanak jalanan ini.

"Hanya selepas seminggu merancang, program ini berjaya dilaksanakan," katanya.

Kumpulan Pengkarya Guru ini menerima bantuan daripada pelbagai sumber antaranya zakat dan sumbangan peribadi, selain dalam kalangan ahli sendiri. Sumbangan itu pula tidak terhad dalam bentuk wang dan kebanyakkannya adalah beg sekolah, peralatan menulis serta bahan asas untuk kegunaan rumah perlindungan itu.

Menurut Jawatankuasa Pelaksanaan Program, Abdul Muiez Mohamamd Ruslee, setiap ahli yang hadir diberikan tugas tertentu dan perlu membawa sebuah buku setiap seorang untuk dihadiahkan kepada pusat sumber Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.

"Kami berjaya mengumpul lebih 100 judul buku yang diharapkan dapat digunakan sebaiknya oleh anak-anak di rumah itu," katanya.

Aktiviti program tambah meriah dengan kehadiran sasterawan merangkap penulis prolifik negara, Profesor Datuk Dr Rahman Shaari yang mendendangkan puisi di samping berkongsi kegembiraan dengan menyertai beberapa acara antaranya sesi bercerita menggunakan teknik Kamishibai, membuat origami, tarian dan kuiz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:03 AM