Mangsa samun nekad menggunakan keretanya merempuh lelaki yang menyamunnya. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Parit Buntar : Seorang mangsa samun nekad merempuh tiga motosikal digunakan empat suspek di dua lokasi berbeza ketika kumpulan terbabit cuba melarikan diri, selepas menyamun mangsa dan rakannya di Taman Murni, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 10.15 pagi itu, mangsa Mohamed Mazis Mohamed Mokhtar, 25, bersama isteri, Atiqah Nordin ,25, dan tiga rakannya disamun sekumpulan lelaki ketika mereka bersiap hendak keluar bersarapan.

Mohamed Mazis berkata, dalam kejadian itu, salah seorang suspek bertindak meletakkan parang di leher isterinya dan mengarahkan mereka menyerahkan segala barangan berharga.

"Tindakan suspek muncul tanpa disedari mengejutkan kami dan suspek bersama tiga lagi rakannya kemudian mengarahkan kami menyerahkan segala barangan berharga.

" Berang permintaan tidak diendahkan, berlaku pergelutan antara kami dengan empat orang suspek dan kejadian terbabit menyebabkan seorang rakan berusia 28 tahun mengalami kecederaan di kepala akibat ditetak dengan parang.

"Suspek merampas seutas gelang, dua cincin emas, dua beg tangan dan dua jam tangan sebelum bertindak melarikan diri dengan menaiki empat motosikal," katanya.

Mohamed Mazis kemudian memandu keretanya mengejar mereka sebelum merempuh tiga daripada empat motosikal di dua lokasi berbeza iaitu persimpangan masuk Taman Murni dan Kampung Kedah.

Katanya, empat suspek berkenaan berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 5:04 PM