MPV yang terbabit kemalangan di Kilometer 245.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Lapan sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 245.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, keseluruhan lapan mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza adalah membabitkan empat wanita, dua lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berusia lingkungan empat hingga 60-an.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Penoolong Kanan Penguasa Bomba Khairi Anuar Shaharuddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 2.43 petang.

"Sebaik tiba dilokasi kami dapati kenderaan berkenaan dipercayai terbabas sendiri sebelum merempuh pembahagi lebuh raya di laluan yang juga jambatan dengan enam mangsa berada di tempat kejadian manakala dua lagi sudah dihantar ke hospital menaiki kenderaan orang awam.

"Berdasarkan maklumat, dua mangsa yang dihantar ke Hospital Kuala Kangsar oleh orang awam berkenaan adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia lingkungan empat tahun yang dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dinaiki sebelum terjatuh dari jambatan berkenaan ke jalan raya di bawah setinggi kira-kira 20 meter, selain ibunya yang turut cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya bersama agensi penyelamat lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak perubatan kemudian membantu memberi rawatan awal kepada enam mangsa yang masih berada dilokasi termasuk seorang lelaki berusia 60-an yang pengsan sebelum kesemua mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

"Berdasarkan tiga bagasi besar yang ditemui di kenderaan mangsa, keluarga berkenaan dipercayai baru pulang daripada mengerjakan umrah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 6:41 PM