Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) terus bekerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi, persatuan perdagangan, dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta bagi membantu negara mencapai sasaran eksport RM806.5 bilion tahun ini.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi dikeluarkan pada 20 Oktober 2016 menyasarkan peningkatkan eksport tahun ini sebanyak 2.7 peratus berbanding RM785.7 bilion unjuran bagi 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, Matrade turut menjalankan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) terutama pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2017 bagi membantu syarikat tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan.

Beliau berkata, ekonomi digital dilihat menjadi satu platform penting untuk menggalakkan syarikat tempatan mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke luar negara melalui platform e-dagang.

“Matrade mempergiatkan promosi program eTRADE, satu daripada inisiatif kerajaan melalui Matrade untuk meningkatkan penggunaan e-dagang terutama pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mereka mengeksport produk ke luar negara.

“Bagi meningkatkan eksport juga, strategi jangka panjang dirangka dengan penekanan diberikan kepada 12 sektor utama iaitu elektrikal dan elektronik; mesin dan kelengkapan; kelengkapan petrokimia; automotif dan komponen; peranti perubatan; minyak sawit; perniagaan agro serta perkhidmatan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Ditanya mengenai cabaran aktiviti mempromosikan eksport sepanjang 2016, beliau berkata, prestasi eksport negara dipengaruhi pelbagai faktor luaran seperti ketidaktentuan ekonomi global, kejatuhan harga komoditi utama serta faktor dalaman iaitu tahap daya saing PKS yang terhad.

Beliau berkata, prestasi ekonomi global yang tidak menentu dijangka terus mempengaruhi prestasi eksport negara pada tahun ini apabila laporan terkini Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) menjangkakan kadar pertumbuhan bagi perdagangan barangan pada 2016 hanya meningkat 1.7 peratus berbanding 2.7 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 7:18 AM