Pandangan dari udara menunjukkan kawasan di selatan Thailand yang ditenggelami banjir semalam, dan gambar kanan, bot penyelamat serta helikopter menuju ke arah penduduk yang terkandas di wilayah Phattalung. - Foto EPA/AFP
BERNAMA

Bangkok: Jumlah mangsa banjir di selatan Thailand yang terkorban akibat bencana itu meningkat kepada 21 orang dengan dua masih hilang.

Menurut Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi, banjir yang melanda sejak bermula tahun ini berikutan hujan lebat, menjejaskan hampir satu juta penduduk yang tinggal di 12 wilayah di selatan Thailand dan melumpuhkan sistem pengangkutan.

Lapangan terbang di Nakorn Si Thammarat, yang terletak di satu daripada wilayah yang teruk terjejas, masih ditutup sejak Jumaat lalu, manakala perkhidmatan kereta api ke selatan juga dihentikan.

"Lapangan terbang itu akan ditutup untuk penerbangan sehingga Rabu," kata pengurus lapangan terbang Suksawas Sukhawannon hari ini.

Sebahagian daripada landasan kapal terbang masih ditenggelami air dan beberapa lampu navigasi tidak berfungsi.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tanasak Pathimaprakorn berkata, kerajaan belum dapat menilai kerugian akibat bencana itu kepada industri pelancongan di selatan Thailand berikutan keutamaan sekarang menyelamatkan nyawa dengan banjir masih belum surut.

"Kami perlu membantu rakyat terlebih dahulu, kerana mereka yang berada di kawasan terjejas adalah kunci kepada industri pelancongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 11:00 PM