Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang wanita dibebaskan dengan selamat selepas tujuh jam dilarikan tiga lelaki ketika berada di kafe di pusat beli-belah Setapak Sentral, di sini, 10.20 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian mangsa berusia 20-an itu sedang menunggu seorang lelaki untuk membincangkan hal perniagaan.

Menurutnya, mangsa dikatakan ditarik tiga lelaki sebelum dibawa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih.

"Mangsa dibebaskan jam 5.30 petang tadi di kawasan Lebuhraya Duta- Ulu Kelang (DUKE).

"Mangsa kemudian menghubungi keluarganya memaklumkan dia selamat sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan,"katanya.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan di ibu jari kaki kanan dan tangan kiri akibat bergelut dengan suspek.

"Siasatan polis mendapati, Toyota Alphard digunakan suspek dalam kejadian itu adalah kenderaan sewa.

"Usaha memburu tiga suspek terbabit sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 11:56 PM