PENDUDUK memeriksa kemusnahan selepas sebuah trak minyak meletup di Azaz, kawasan yang dikuasai kumpulan penentang Bashar berhampiran sempadan Syria dengan Turki, semalam. - Reuters
Agensi

Beirut: Presiden Syria Bashar al Assad berkata, kerajaannya bersedia untuk berunding mengenai ‘apa sahaja’ di rundingan damai yang akan diadakan di Kazakhstan hujung bulan ini.

Dalam wawancara dengan sebuah media Perancis dan disiarkan semula oleh agensi berita rasmi Syria (SANA) semalam, dia juga berkata, gencatan senjata yang diusahakan Turki dan Russia dicabuli dan berikrar askarnya akan menawan seluruh wilayah negara itu, termasuk kawasan yang dikuasai penentangnya berhampiran Damsyik, tempat loji yang membekalkan air ke ibu negara itu musnah akibat dibom.

“Kami sudah bersedia untuk ke Astana (ibu negara Kazakhstan). Kami sudah bersedia berunding mengenai apa sahaja,” katanya.

Ketika ditanya sama ada ia termasuk kedudukannya sebagai presiden, Bashar menjawab : “Ia, tetapi kedudukan saya ada hubungan dengan perlembagaan. Jika mereka mahu membincangkan perkara itu, mereka perlu membincangkan perlembagaan.”

Menurutnya, sebarang perlembagaan baru perlu diundi dalam pungutan suara dan terserah kepada rakyat Syria memilih pemimpin baru.

Bashar juga berkata, dia tidak tahu siapa yang akan mewakili kumpulan penentangnya.

“Saya tidak pasti sama ada yang akan datang itu benar-benar mewakili kumpulan pembangkang,” katanya, sambil menolak semua kumpulan yang disokong oleh Arab Saudi, Perancis dan Britain.

“Isu Syria perlu dibincangkan oleh kumpulan Syria sahaja,” katanya.

Presiden Syria itu juga berkata, tenteranya akan melancarkan serangan habis-habisan untuk menawan Wadi Barada.

Menurutnya, kumpulan penentang yang menguasai kawasan itu tidak termasuk dalam gencatan senjata.

“Mereka menguasai sumber air utama Damsyik, menyebabkan lebih lima juta penduduk Damsyik terputus bekalan air sejak lebih tiga minggu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 7:53 AM