GAMBAR fail, kereta perisai Terrex yang digunakan tentera Singapura. - Agensi
Reuters

Singapura: Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen semalam berkata, sembilan kereta perisai Terrex republik itu yang ditahan di Hong Kong tidak boleh ditahan atau di rampas dan republik itu sudah berulang kali meminta supaya ia dipulangkan.

Kastam Hong Kong menahan kereta perisai itu November lalu ketika ia dibawa dengan kapal dari Taiwan ke Singapura selepas menjalani latihan ketenteraan di negara pulau itu yang dianggap China sebagai sebahagian wilayahnya.

Penahanan itu mencetuskan ketegangan antara Singapura dan China.

Beijing yang mendapat semula hak kedaulatan terhadap Hong Kong pada 1997, memberi amaran kepada negara lain supaya tidak mengekalkan hubungan ketenteraan dengan Taiwan.

Menjawab soalan di Parlimen, Ng berkata, kenderaan itu adalah hak kerajaan Singapura.

“Ia dilindungi oleh imuniti kedaulatan walaupun diangkut dengan kapal komersial. Ia dilindungi daripada ditahan atau dirampas oleh negara lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 7:57 AM