GAMBAR fail, Jokowi (kanan) dan Gatot.
Agensi

Jakarta: Presiden Joko Widodo (Jokowi) dilapor menegur ketua tenteranya dalam mesyuarat minggu lalu berikutan kebimbangan panglima tentera itu sudah ‘tidak dapat dikawal’ selepas dia bertindak bersendirian menggantung kerjasama pertahanan dengan Australia.

Campurtangan Jokowi itu meningkatkan kebimbangan mengenai Jeneral Gatot Nurmantyo yang mempromosi tanggapan bahawa Indonesia dikepung oleh ‘perang proksi’ dengan negara luar cuba mengancam Indonesia dengan memanipulasi pihak tertentu.

Penganalisis dan beberapa pembantu Jokowi juga bimbang Gatot berusaha meletakkan asas bagi meluaskan peranan tentera dalam hal ehwal awam di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu dan mungkin dia mempunyai cita-cita politiknya sendiri.

Seorang pegawai kanan kerajaan berkata, Jokowi terpaksa bertindak pantas untuk menunjukkan kuasanya sebagai panglima tertinggi negara itu.

“Gatot seperti sudah tidak dapat di kawal lagi,” katanya.

Panglima tentera itu mengumumkan penggantungan kerjasama latihan ketenteraan dengan Australia beberapa hari selepas seorang pegawai mendakwa menjumpai bahan pengajaran yang dikatakan ‘menghina’ ketika menjalani kursus latihan bahasa di negara itu hujung tahun lalu.

Seorang pegawai berkata, Jokowi dan pegawai lain terkejut apabila media tempatan melaporkan pengumuman Gatot itu.

Walaupun jeneral itu tidak dimarahi secara rasmi, pegawai itu berkata, Jokowi memberi amaran kepadanya ketika pertemuan mereka di istana presiden di Bogor, kelmarin.

Pertemuan disahkan oleh pegawai kanan lain yang juga enggan dikenali.

Gatot menolak permintaan untuk diwawancara.

Pegawai kanan kerajaan itu berkata: “Kami mengesyaki Gatot mengeksploitasi keadaan untuk agenda dan impian politiknya sendiri.

“Dia banyak muncul di khalayak ramai dan membuat ucapan sejak akhir ini. Terus terang kami beranggapan kebanyakan yang dicakapkannya mengenai perang proksi dan ancaman terhadap Indonesia adalah mengarut.”

Seorang pegawai yang turut mengesahkan pertemuan Jokowi dengan Gatot berkata, buat masa ini, jawatan panglima tentera itu selamat.

“Buat masa ini, kami yakin dia tidak akan belot kepada presiden atau kerajaan awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 7:58 AM