BERNAMA

Putrajaya: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa melahirkan kebimbangan dengan kadar keberhutangan yang tinggi segelintir penjawat awam dan mahu ketua jabatan memantau gaya hidup warga kerja masing-masing.

Menurutnya, beliau dimaklumkan ada penjawat awam membawa pulang gaji sifar ke rumah kerana gajinya dipotong untuk membayar hutang.

"Ada yang 'take home pay' (gaji yang dibawa pulang) penjawat awam kurang daripada 40 peratus yang kita syaratkan. Ada yang kosong peratus.

"Kita lihat ada yang ingin hidup mewah dan pada masa sama banyak meminjam sehingga membawa gaji kosong ringgit ke rumah. Perkara ini perlu diatasi," katanya pada majlis penganugerahan surat kenaikan pangkat pegawai pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana di sini, hari ini.

Beliau meminta Jabatan Akauntan Negara dan ketua jabatan memantau penjawat awam yang tidak berbelanja secara berhemah.

"Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga meminta Jabatan Akauntan Negara meneliti potongan gaji penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 8:08 PM