Anggota polis Afghanistan di tempat kejadian. FOTO Reuters
Agensi

Kabul:  Lebih 20 orang terbunuh dan kira-kira 50 yang lain cedera dalam serangan berani mati berhampiran pejabat Parlimen di sini, petang tadi.

Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan yang menurutnya menyasarkan sebuah bas mini membawa kakitangan Direktorat Keselamatan Kebangsaan, agensi perisikan utama Afghanistan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, kumpulan itu  mendakwa 70 orang mati.

Menurut pegawai, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya dan disusuli dengan letupan sebuah kereta tidak lama kemudian.

Terdahulu, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di sebuah rumah di Helmand, wilayah selatan negara itu, menyebabkan tujuh orang terbunuh.

Rumah itu dikatakan digunakan oleh unit perisikan terbabit.

Ribuan orang awam terbunuh di Afghanistan sepanjang 15 tahun lalu selepas kerajaan Taliban digulingkan dalam kempen yang diketuai Amerika Syarikat pada 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 10:38 PM