MUSLIMAH Maghribi, sebahagiannya mengenakan purdah. - Agensi
Agensi

Rabat: Maghribi mengharamkan pengeluaran dan penjualan purdah atas alasan keselamatan.

Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenainya oleh pihak berkuasa, media tempatan melaporkan, pengharaman itu akan berkuatkuasa minggu ini.

“Kami mengambil langkah mengharamkan sama sekali pengimportan, pembuatan dan penjualan burqa di seluruh negara,” menurut laman berita Le360 yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan kementerian dalam negeri.

Menurut laman itu, langkah itu didorong oleh kebimbangan mengenai keselamatan memandangkan penjahat berulang kali menggunakan pakaian itu untuk melakukan jenayah.

Kebanyakan wanita di Maghribi hanya memakai tudung yang tidak menutup seluruh muka.

Purdah yang hanya menampakkan mata si pemakai popular dalam kalangan penduduk di utara negara itu.

Beberapa laporan menyatakan, pihak berkuasa mengarahkan peniaga di Taroudant, selatan negara itu, berhenti membuat dan menjual purdah dan memusnahkan stok mereka dalam masa 48 jam.

Langkah itu mendapat tentangan pemimpin kumpulan Salafi negara itu, Sheikh Hassan Kettani.

Katanya, jika benar purdah diharamkan, ia akan menjadi bencana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 7:58 AM