GAMBAR yang dipetik daripada rakaman video menunjukkan kanak-kanak itu menendang ibunya. - Agensi
Agensi

Beijing: Rakaman video selama lapan saat menunjukkan seorang budak lelaki menendang ibunya lima kali kerana dilarang bermain telefon pintar mengundang kritikan pengguna Internet di China selepas tular di media sosial negara itu.

Video pendek itu turut menunjukkan nenek kanak-kanak dianggarkan berusia 10 tahun itu berusaha mempertahankan si ibu daripada amukannya.

Laporan mendakwa kejadian dirakamkan di sebuah hospital di Guangzhou. Seorang wartawan yang meneliti rakaman itu berkata, budak itu nampaknya marah dengan ibunya kerana tidak dibenarkan bermain telefon.

Disebabkan dasar satu anak diamalkan di China sejak bertahun-tahun lalu, negara itu kini berdepan masalah anak tunggal yang digelar ‘maharaja kecil’ yang dimanjakan sepenuhnya ibu bapa tanpa diajar disiplin.

Seorang pakar kanak-kanak yang melihat video itu turut menyatakan kejadian seperti ini semakin kerap dilihat di China dan ibu bapa perlu lebih tegas mendidik anak mereka.

Seorang pengguna Weibo bersetuju dengan pandangan itu.

“Ibu bapanya yang bersalah, bukan kanak-kanak itu. Mereka sepatutnya mendidik dengan disiplin,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi berkata: “Kalau itu anak saya sudah pasti dia dibelasah habis-habisan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 8:12 AM