KAKITANGAN PPj menangkap kera yang terperangkap di sekitar Putrajaya.
BABI hutan yang berjaya ditembak.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Konflik manusia dan hidupan liar tidak hanya berlaku di luar bandar, sebaliknya ia turut dihadapi di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini.

Kera, babi hutan, ular dan biawak adalah antara hidupan liar yang ‘berjaya’ menceroboh masuk ke Putrajaya sehingga mencetus kebimbangan penduduk tempatan yang rata-rata terdiri daripada penjawat awam.

Bagi mengawal populasi hidupan liar itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi Seksyen Hortikultur dan Hidupan Liar, Jabatan Landskap dan Taman tidak berdiam diri dan sentiasa memastikan ancaman itu dapat dikawal.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 70 operasi dilakukan dengan 228 ekor kera berjaya ditangkap pindah dan lebih 82 ekor babi hutan berjaya dihapuskan kerana mengancam keselamatan penduduk dan mengganggu lalu lintas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Taman dan Rekreasi, Jabatan Landskap dan Taman PPj, Mustafa Kamal Ismail berkata, pihaknya menerima 16 aduan daripada penduduk sepanjang tahun lalu menerusi aplikasi sistem dalam talian, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) yang mendakwa diganggu hidupan liar seperti kera dan babi hutan.

Beliau berkata, selain aduan, pihaknya turut melakukan operasi pemantauan berkala bagi membendung ancaman hidupan liar itu dan menerima panggilan kecemasan daripada penduduk setempat.

“Bagi ancaman babi hutan, aduan banyak diterima daripada penduduk di Presint 15 dan Presint 11 selain beberapa kawasan rekreasi dan taman seperti Pusat Rekreasi Air Putrajaya, Presint 13 dan Taman Rimba Alam.

“Sementara itu, kera pula banyak dikesan di Presint 8, Presint 18, Presint 11 dan Presint 14. Kami juga pernah menerima aduan ada kera menceroboh masuk kuarters penjawat awam dan merosakkan harta benda,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, kera ditangkap menggunakan perangkap sebelum dipindahkan ke dalam hutan di Hulu Langat, Selangor.

Mustafa berkata, pihaknya akan memastikan segala isu berkaitan konflik hidupan liar dapat ditangani dengan cepat, cekap dan berkesan.

Menurutnya, pihaknya juga merakamkan terima kasih kepada penduduk setempat kerana memberi kerjasama dengan melaporkan kehadiran hidupan liar di kawasan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 11:19 AM