MUHAMMAD Khalid
MUHAMMAD Khalid mengajar dua pekerjanya mengubah suai motosikal di bengkel Rusty Factory di Ipoh.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Ipoh: Pengubahsuaian motosikal dengan konsep ‘caferacer’ yang terkenal di luar negara mula menjadi ikutan di negara ini dan di Perak, Rusty Factory adalah bengkel terawal yang bertapak menggunakan konsep berkenaan.

Kegilaan peminat motosikal terhadap restorasi motor itu bermula sejak beberapa tahun lalu dan ia bukan saja di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, malah fenomena itu mendapat sambutan mendadak di Malaysia dan sehingga kini terdapat pelbagai jenis motosikal kustom yang masih ramai tidak ketahui jenisnya.

Motosikal ‘streetcup’ antara yang popular di negara ini berikutan hanya menggunakan motosikal jenis kapcai seperti Honda C70 dan EX5 berbanding motosikal klasik yang sering digunakan untuk diubah suai.

Bengkel Rusty Factory terletak agak tersorok di bandar raya ini, namun sentuhan pemiliknya dalam mengubah suai motosikal kustom mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan seluruh Malaysia.

Pemiliknya, Muhammad Khalid Musa, 29, berkata bengkelnya di Taman Temara menjadi tumpuan ramai peminat motosikal caferacer kerana kemahirannya mengubah suai motosikal lama kepada konsep kustom.

Muhammad Khalid berkata, tahun 2013 adalah tahun yang paling sibuk berikutan mendapat tempahan luar biasa sehinggakan beberapa bengkel motosikal di Kuala Lumpur turut menghantar motosikal klasik kepadanya untuk diubah suai kepada konsep caferacer.

“Ia antara tahun paling sibuk bagi saya dan dua pekerja untuk menyiapkan hampir 30 motosikal klasik tempahan pelanggan yang hendak diubah suai kepada konsep kustom,” katanya ketika ditemui semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 11:30 AM