KELUARGA bahagia Shiera.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Artis serba boleh Sharifah Shahirah akur apabila dinasihati doktor agar tidak bersalin lagi selepas selamat melahirkan anak kelima pada 5 November lalu.

Menurut Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera, 43, perkara itu disebabkan faktor usia selain bimbang memberi kesan kepada kesihatan.

“Sejak ada anak kecil saya selalu berjaga malam. Disebabkan itu tekanan darah saya tinggi selain faktor usia. Jadi kalau selepas ini saya bersalin lagi, bimbang nanti ia memberi kesan sampingan lain pula.

“Kalau ikutkan hati nak bersalin lagi, tapi bagi saya cukup lima. Tambahan pula anak pertama sudah berusia 19 tahun.

“Suami juga sependapat dengan saya. Lagipun zaman sekarang banyak perkara perlu diambil kira terutama kos sara hidup yang kian tinggi. Jadi saya perlu bersedia dari sekarang,” katanya.

Berkongsi mengenai anak bongsunya, Adeena, Shiera berkata puterinya itu dilayan seperti anak sulung kerana dilahirkan tujuh tahun selepas anak keempatnya, Audra.

Shiera berkata, semua anak dan anggota keluarga lain memberikan sepenuh kasih sayang terhadap Adeena.

“Saya pun tak menyangka boleh hamil lagi pada usia 42 tahun. Tambahan pula anak keempat ketika itu sudah berusia tujuh tahun. Jadi saya fikir tak ada lagi. Apabila disahkan hamil, saya menganggap ia rezeki daripada Allah.

“Sejak kehadiran Adeena, anak lain seboleh-boleh tak nak melepaskannya. Boleh dikatakan setiap masa mereka nak bermain bersama,” katanya.

Terdahulu Shiera mengadakan majlis akikah dan cukur jambul Adeena di kelab Sunway Montana, Desa Melawati, Sabtu lalu.

Dianggarkan 500 tetamu hadir membabitkan keluarga, sahabat karib dan rakan artis.

Antara yang hadir, Nabil Ahmad, Linda Rafar, Nad Zainal, Noorkhiriah dan Lan Kristal.

Pengalaman dibedah

Bercerita pengalaman melahirkan anak kelima, Sheira memaklumkan itu kali pertama dia bersalin secara pembedahan.

Sheira berkata, dia tidak mengalami sebarang masalah dan kesakitan seperti yang diceritakan orang sekelilingnya.

“Disebabkan usia kandungan sudah melepasi tarikh jangkaan bersalin, bayi sudah buang air besar dan doktor menyarankan agar saya menjalani pembedahan.

“Namun saya berkeras mahu bersalin secara normal. Doktor tetap memujuk kerana ia membabitkan keselamatan.

“Selepas dipujuk berkali-kali, saya akhirnya mengalah. Bukan apa, saya selalu teringat cerita orang yang mengatakan bersalin secara pembedahan sangat sakit dan perlu banyak berehat.

“Selepas melalui sendiri pengalaman itu, nyata ia tak seperti yang diperkatakan. Cuma saya perlu berhati-hati dari segi pergerakan dan jaga pemakanan,” katanya.

Menurut Sheira dia berada di dalam dewan bersalin selama tujuh jam namun proses pembedahan dilakukan tidak sampai sejam.

Disebabkan keletihan, Sheira tertidur selama lapan jam. Dia hanya tersedar pada jam 9 malam dan ketika itu dikelilingi sanak-saudara yang datang melawat.

Hasil perkahwinan dengan pelakon Zulkifli Azahari atau Ijoy, pasangan ini dikurniakan empat anak iaitu Airell, 13, Airra, 10, Audra, 8, dan Adeena dua bulan.

Sebelum itu, Sheira turut memiliki seorang anak perempuan Alissya, 19, daripada perkahwinan pertama dengan penyanyi kelahiran Singapura, Jatt.

Shiera pernah mengalami keguguran ketika kandungan berusia enam bulan iaitu sebelum melahirkan anak keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 12:24 PM