PEUGEOT 208 Puretech Baru. FOTO Lizam Ridzuan
PEUGEOT 2008 SUV Puretech Baru. FOTO Lizam Ridzuan
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Nasim Sdn Bhd pengedar rasmi Peugeot di Malaysia melancarkan dua model iaitu Peugeot 208 Puretech Baru dan Peugeot 2008 SUV Puretech Baru untuk pasaran tempatan.

Kedua-dua model terdiri daripada hatchback kompak dan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu dijana dengan enjin baru 1.2L Puretech yang berkuasa serta jimat penggunaan bahan api.

Enjin yang memenangi Anugerah Enjin Tahunan Antarabangsa untuk 2015 dan 2016 itu mampu dipandu sejauh 1,190 kilometer (km) untuk satu isian penuh tangki dengan penggunaan petrol sekitar 4.2 liter setiap 100 km.

Untuk prestasi ia berkeupayaan 112 PS manakala tork maksimum setinggi 205Nm yang dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan teknologi Quickshift.

Antara ciri terkini model 208 ialah gril hadapan dengan perumah lampu baru, rim aloi rekaan terkini serta skrin multimedia definasi tinggi pada papan pemuka.

Untuk 2008 SUV ia didatangkan dengan bumbung suria, rekaan bampar hadapan baru dengan sistem keselamatan terbaik ditawarkan.

Harga ditawarkan untuk model 208 Puretech Baru ialah RM89,888 dan 2008 SUV Puretech Baru pada harga RM109,888. Semua harga atas jalan termasuk insurans dengan lima tahun waranti atau 120,000 km.

Untuk model 208 ia didatangkan dengan enam pilihan warna iaitu putih, biru, hitam, oren, merah dan aluminium.

Bagi model 2008 SUV empat pilihan warna ditawarkan iaitu putih, merah, emerald dan kelabu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 1:53 PM