Antara barangan dirampas polis selepas penahanan seorang lelaki yang disyaki aktif melakukan pecah rumah dan premis perniagaan di sekitar Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan Polis
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Lelaki ditahan selepas disyaki aktif melakukan pecah rumah dan premis perniagaan di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia 30 tahun terbabit ditahan menerusi satu serbuan di sebuah cafe di Jalan Suakasih, Cheras, jam 9.45 malam.

Katanya, tangkapan dilakukan susulan lima laporan polis di terima bermula 4 hingga 9 Januari lalu membabitkan kejadian pecah rumah dan premis perniagaan di sekitar Dataran Sunway, Nexis Sunway dan Jalan PJU 6A, di sini.

"Hasil soal siasat dilakukan suspek membawa pihak polis ke sebuah apartmen di Jalan Sutera Utama, Cheras dan kita merampas sebuah kereta model Perodua Myvi yang disewa, peralatan pecah rumah, pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba dan peralatan elektronik.

"Semakan dilakukan juga menunjukkan suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, curi dan menceroboh.

"Suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 2:39 PM