Ahmad Amri (tengah) bersama anggotanya memeriksa sebahagian 20 tong berisi 600 liter minyak petrol yang dirampas FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menumpaskan kegiatan penyeludupan petrol dan mercun dalam dua serbuan pada Khamis dan malam tadi.

Serbuan pertama di pengkalan haram Adi, Simpangan pada Khamis, pasukan itu merampas 10 kotak mercun bersama bot enjin galah bernilai RM8,600.

Manakala, dalam serbuan kira-kira 10.30 malam tadi di pengkalan haram Tualang, di sini menemui 20 tong berisi 600 liter petrol bernilai RM1,260.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, tiada tangkapan dibuat dalam kedua-dua serbuan itu.

"Serbuan malam tadi, hasil rondaan empat anggota di sepanjang Sungai Golok menemui seorang individu sedang memunggah sesuatu daripada kereta di tebing sungai.

"Menunggu di dalam bot adalah dua individu. Apabila dihampiri, mereka melarikan diri dengan seorang memandu kereta dan dua lagi menaiki bot menuju ke arah Thailand.

"Sementara serbuan pada Khamis (5 Januari) dibuat ketika anggota sedang melakukan operasi menyelamat mangsa banjir," katanya dalam di sini, hari ini.

Beliau berkata, mercun berkenaan dipercayai diseludup masuk untuk pasaran dalam negeri dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 3:26 PM