Kasmani hilang sejak 8 Januari lalu. FOTO ihsan keluarga
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Pasir Gudang: Sebuah keluarga memohon bantuan orang ramai mengesan bapa mereka yang hilang sejak 8 Januari lalu.

Pesara askar, Kamsani Sanadi, 73, dilaporkan hilang dari kediaman di Blok 46, Taman Cendana, di sini.

Anak keempat Kamsani, Siti Nor Esah, 18, berkata, bapanya menghidap angin ahmar dan kerap mengalami masalah hilang ingatan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, sejak sebulan lalu, bapanya tinggal sebatang kara tetapi ahli keluarga kerap mengunjunginya.

"Saya menemani bapa selama ini tetapi sejak sebulan lalu saya berada di rumah abang di Larkin untuk menjaga kakak ipar yang berpantang selepas melahirkan anak.

"Kami puas memujuk bapa tinggal bersama tetapi dia tidak mahu kerana sudah selesa di kawasan Pasir Gudang.

"Kami difahamkan bapa keluar rumah dan menyatakan mahu ke kedai pada petang 8 Januari. Jiran kemudian memberitahu dia tidak pulang ke rumah," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim di talian 0177163284.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 3:33 PM