Asisten Komisioner Sum Chang Keong. FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal roda tiga ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Kelab Golf dekat susur Jalan Tun Suffian, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, Ng Yun Sin, 68, maut ketika mendapat rawatan di Zon Kritikal Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari rumah di Ampang ke pusat bandar dipercayai gagal mengawal motosikal menyebabkannya melanggar pembahagi jalan.

Katanya, perlanggaran itu menyebabkannya mangsa tercampak dan parah di beberapa bahagian badan.

"Mangsa dibawa ke HRPB untuk menerima rawatan sebelum meninggal dunia jam 9.30 malam tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 3:47 PM