Agensi

Mexico: Bayi yang dilahirkan dengan dua kepala di Ciudad Juarez, Mexico, baru-baru ini, dilaporkan meninggal dunia beberapa jam selepas dilahirkan.

Gambar serta rakaman video itu menjadi tarikan di media sosial selepas ia disiarkan pada 6 Januari lalu, dipercayai saudara ibu bayi berkenaan yang terkejut dengan keganjilan itu.

Media, termasuk Mirror dan Foxnews melaporkan, Jesus Urrutia iaitu Pengarah Klinik di Institut Keselamatan Sosial di Chihuahua , Mexico, mengesahkan kematian bayi berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Bayi berkenaan mempunyai satu badan yang lengkap semua organ dan anggota namun ada dua kepala.

Sebelum ini, kes kembar ganjil yang biasa ditemui ialah kembar siam yang berlaku dalam satu bagi 100,000 kehamilan

Jurnal perubatan menyatakan kejadian kembar bercantum berlaku apabila wanita menghasilkan hanya satu telur yang tidak berpisah sepenuhnya sebelum ia disenyawakan.

Sebahagian besar kembar bercantum tidak hidup lama kerana organ mereka tidak mampu menampung keperluan tubuh. Dianggarkan 40 peratus mati sebelum atau sebaik dilahirkan manakala 35 peratus lagi mati beberapa hari kemudian.

Antara kes terbaru sebelum ini, seorang bayi lelaki berkepala dua dilahirkan di Kolej Perubatan Jawaharlal Nehru, Ajmer, Rajasthan, India, pada 4 Oktober tahun lalu, oleh wanita berusia 20 tahun namun bayi itu meninggal dunia 32 jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 4:21 PM