Lubang saluran udara di bangunan apartmen, tempat seorang lelaki terperangkap.
Agensi

Manhattan, New York: Seorang wanita menghubungi talian kecemasan 911 selepas tengah malam, semalam, apabila terdengar suara seorang lelaki menjerit dalam dinding apartmennya.

Anggota bomba yang datang kemudian memecahkan dinding dan menemui seorang lelaki hampir bogel tersangkut dalam saluran udara dapur rumah wanita berkenaan.

Ketika ditarik keluar, lelaki itu hanya berseluar dalam dan mendakwa dia sedang mencari kolam renang di tingkat bawah apartmen.

WPIX-TV melaporkan, Ketua Jabatan Bomba New York, Patrick Tansey, berkata: “Ketika terperangkap dalam lubang itu dia beritahu pemilik rumah mengenai kolam renang di tingkat bawah tanah, saya tak tahu apa yang dimaksudkannya.”

Menurutnya, lelaki itu didapati tidak mabuk ketika ditemui.

Lubang itu hanya muat tubuh lelaki berkenaan menyebabkan anggota bomba tidak boleh menggunakan mesin gerudi sebaliknya, 40 anggota bomba menggunakan tangan memecahkan dinding dan menemuinya berdiri dengan hanya berseluar dalam.

Sebelum kejadian, lelaki itu dikatakan mengalihkan kipas penyedut haba di atas bumbung bangunan dan melungsur turun melalui lubang itu lima tingkat ke bawah sebelum tersangkut di tingkat pertama.

Lelaki itu dibenarkan pulang dari hospital selepas menerima rawatan akibat kecederaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 4:41 PM